Pengaruh monokromatik terhadap persepsi foto landskap

Pengaruh monokromatik terhadap persepsi foto landskap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia fotografi, warna bukan sahaja menjadi elemen estetika, malah berfungsi sebagai sistem makna yang mempengaruhi persepsi penonton.

Ia mempunyai keupayaan psikologi untuk membentuk tanggapan, mengarahkan perhatian dan menimbulkan respons emosi berbeza pada setiap individu.

Justeru, pemahaman terhadap teori warna menjadi keutamaan dalam seni foto, terutama apabila berkarya dalam genre landskap yang bergantung kepada hubungan antara cahaya, ruang dan masa.

Konsep landskap dalam fotografi melampaui definisi konvensional tentang alam semata mata.

Ia mencakupi interaksi kompleks antara subjek semula jadi, kondisi cahaya, struktur ruang dan kedudukan jurufoto ketika merakam.

Ekoran itu, landskap tidak pernah bersifat statik kerana setiap perubahan masa menghasilkan perubahan warna yang mempengaruhi keseluruhan naratif visual.

Dalam konteks inilah warna bertindak sebagai prinsip yang menyatukan komposisi dan memberikan koheren kepada imej.

Pendekatan warna monokromatik sering menjadi pilihan jurufoto yang ingin menonjolkan suasana dan emosi tanpa gangguan palet warna pelbagai.

Pemilihan satu tona dominan mewujudkan fokus visual yang lebih jelas serta membantu penonton menikmati hubungan antara unsur alam seperti arus air, banjaran bukit, tekstur batu atau kabut pagi.

Pendekatan ini memberi kesederhanaan foto, sekali gus mengalihkan tumpuan kepada rasa, bukan semata-mata rupa.

Dalam fenomena senja misalnya, dominasi tona ungu atau jingga menghasilkan emosi keheningan dan penyerahan.

Dalam suasana malam, tona biru mencetuskan sensasi kontemplatif dan kedalaman spiritual.

Teknik ini secara tidak langsung memanfaatkan prinsip psikologi warna, iaitu idea yang warna mampu mempengaruhi memori dan imaginasi, lalu membentuk reaksi penonton terhadap sesuatu imej.

Menurut jurufoto, Ahmad Mustaqim Ahmad Termizi, warna monokromatik ialah cara halus untuk memusatkan perhatian penonton terhadap emosi tersembunyi dalam landskap, kerana apabila tona disederhanakan, jiwa alam menjadi lebih mudah dibaca.

Elemen warna ini apabila digabungkan dengan komposisi seimbang, penggunaan garis leading, kekuatan siluet dan kawalan exposure tepat, menghasilkan foto landskap yang bukan sahaja indah dari sudut estetika tetapi turut memiliki nilai konseptual.

Justeru, pemahaman warna bukan lagi pilihan kerana ia merupakan bahasa visual yang menghubungkan jurufoto dengan penonton secara langsung.

Pensyarah kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN