Zionis pantau pergerakan rakyat Palestin guna kamera pengawasan

Zionis pantau pergerakan rakyat Palestin guna kamera pengawasan

SEORANG lelaki menunjukkan kamera pengawasan yang dipasang oleh tentera Israel di sebuah tiang di bandar Hebron.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEBRON: Kumpulan hak asasi manusia melaporkan Israel kini mengikut jejak langkah China mengawal penduduk Uighur apabila memasang kamera pengawasan di bandar Hebron serta beberapa lokasi lain di Tebing Barat.

Program pengecaman muka baharu yang didedahkan Amnesty International menunjukkan rejim zionis menggunakan strategi sama sama untuk menjajah dan mengawal pergerakan penduduk Palestin yang sudah sedia terbatas.

PERGERAKAN SEMAKIN DISEKAT

Pada 2 Mei lalu, Amnesty International menerbitkan laporan bertajuk Automated Apartheid, memperincikan cara kerja program Red Wolf Israel menggunakan teknologi berkenaan untuk menjejaki rakyat Palestin sejak tahun lepas yang dipercayai dikaitkan dengan program serupa lebih awal dikenali sebagai Blue Wolf dan Wolf Pack.

Teknologi itu digunakan di pusat pemeriksaan di bandar Hebron dan bahagian lain di Tebing Barat yang mengimbas wajah rakyat Palestin dan membandingkannya dengan pangkalan data sedia ada.

Dedah badan berkenaan, jika maklumat tidak ditemui pada pangkalan data sedia ada, individu itu akan didaftarkan secara automatik dalam program Red Wolf tanpa kebenaran mereka, malah boleh dihalang keluar melalui pusat pemeriksaan tersebut.

Dalam satu kenyataan kepada The New York Times, tentera Israel berkata, pihaknya menjalankan operasi keselamatan dan perisikan yang diperlukan, sambil melaksanakan usaha besar meminimumkan bahaya terhadap aktiviti rutin penduduk Palestin.

Bagi aktivis Palestin, Issa Amro, pendedahan terbaharu mengenai penggunaan teknologi pengecaman muka yang semakin meningkat oleh Israel bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Malah, jelas beliau, rakyat Palestin yang tinggal di Hebron menjadi tikus makmal dan bahan eksperimen Israel yang diketahui sebagai pengeksport utama teknologi pemantauan siber dan awam ke negara-negara termasuk Colombia, India dan Mexico .

“Saya rasa diperhatikan sepanjang masa. Saya berasa dipantau bukan sahaja ketika masuk dan keluar rumah tetapi juga semua aktiviti media sosial saya.

“Mereka tidak menghalau kami terus dari rumah tetapi sengaja menyukarkan pergerakan kami di tanah air kami sendiri.

“Malah Hebron juga menjadi makmal bagi syarikat penyelesaian keselamatan mereka untuk melakukan simulasi, menyelesaikan masalah pada sistem dan memasarkan teknologi mereka dengan menggunakan kami sebagai bahan ujikaji tetapi kami tidak mempunyai hak bersuara mengenainya ,” katanya kepada portal Al Jazeera.

PERKUAT DASAR APARTEID

Penulis Palestin, Jalal Abukhater berkata, sistem pengawasan berkenaan sengaja digunakan untuk membuatkan rakyat Palestin berasa seolah mereka tidak mempunyai hak di tanah mereka sendiri.

“Orang ramai merasakan kesan yang menyakitkan, di mana mereka tidak dapat bersosial atau bergerak bebas dan disekat daripada menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Bentuk sistem pengawasan ini digunakan khusus untuk memantapkan pendudukan Israel malah mahu mengekalkan polisi aparteid mereka tanpa segan silu.

“Teknologi pengawasan itu juga merupakan cara untuk mengawal rakyat Palestin dan membantu rejim zionis meneruskan usaha membina lebih banyak penempatan tanpa dihalang oleh kumpulan penentang,” tegasnya.

Menurut Amnesty International, rangkaian kamera pengawasan pengecaman muka itu juga meningkat di Baitulmuqaddis Timur, termasuk di sekitar lokasi budaya penting seperti pintu masuk ke Damsyik dan tapak protes yang kerap menentang tentera rejim zionis.

Pada Februari tahun lalu, badan itu menegaskan Israel mengenakan dasar aparteid ke atas rakyat Palestin dengan menganggap mereka sebagai kumpulan kaum yang lebih rendah.

Organisasi lain, termasuk Human Rights Watch yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan hak asasi Israel B’Tselem, turut membuat kesimpulan yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya