Vietnam mahu kurangkan eksport beras menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Vietnam mahu kurangkan eksport beras menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam menyasarkan untuk mengurangkan eksport beras daripada 7.1 juta tan tahun lalu kepada empat juta tan setiap tahun menjelang 2030.

Ketetapan itu diumumkan kerajaan negara itu dalam satu dokumen yang memperincikan strategi eksport berasnya.

Vietnam merupakan negara pengeksport beras ketiga terbesar dunia selepas India dan Thailand.

Berdasarkan kandungan dalam dokumen kerajaan bertarikh semalam dan diteliti Reuters, langkah itu bertujuan meningkatkan eksport beras berkualiti tinggi, memastikan keselamatan makanan domestik, melindungi alam sekitar dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Menurut dokumen itu, hasil eksport beras akan jatuh kepada AS$2.62 bilion (RM12.05 bilion) setahun menjelang 2030, menyusut daripada AS$3.45 bilion (RM15.87 bilion) pada 2022.

Dokumen sama menyebut, Vietnam bakal mempelbagaikan pasaran eksport berasnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara.

Filipina sudah lama menjadi pembeli beras terbesar Vietnam, menyumbang 45 peratus daripada eksport negara itu pada tahun lalu.

Menjelang 2025, sebanyak 60 peratus eksport beras Vietnam akan dihantar ke pasaran Asia, 22 peratus ke Afrika, tujuh peratus ke Amerika, empat peratus ke Asia Barat dan tiga peratus ke Eropah.

Kerajaan berkata Vietnam akan memberi tumpuan kepada pengeluaran beras pulut wangi dan berkualiti tinggi sambil mengurangkan pengeluaran bijiran berkualiti rendah kepada 15 peratus daripada jumlah keluaran menjelang 2025, seterusnya kepada 10 peratus menjelang 2030. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya