Timur laut Itali ditenggelami bah besar

Timur laut Itali ditenggelami bah besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUGO: Angka kematian akibat bencana banjir di timur laut Itali meningkat sekurang-kurangnya 13 orang selepas limpahan air dan tanah runtuh memusnahkan sebahagian besar kawasan tanaman subur di negara itu dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka.

Pasukan penyelamat sukarelawan bertungkus lumus sejak dua hari lalu untuk membantu memindahkan penduduk yang terperangkap selepas banjir menenggelamkan ratusan kediaman di wilayah Emilia Romagna.

PUSAT GASTRONOMI LUMPUH

Angkatan bersenjata Itali dan pengawal pantai menyertai usaha menyelamat, mengerahkan helikopter dan bot untuk membawa keluar penduduk di kawasan rumah yang ditenggelami air.

Antara mangsa yang maut termasuk dua petani berusia 70-an yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memindahkan peti sejuk di dalam rumah yang dinaiki air.

Selepas lebih 10,000 orang kehilangan tempat tinggal, pihak berkuasa di Ravenna mengeluarkan perintah pemindahan segera kepada penduduk tiga lagi kampung yang diancam banjir awal pagi semalam.

“Terdapat lubang di benteng, jadi jika hujan turun lagi kami amat bimbang air akan naik semula,” kata seorang penduduk pekan Bagnara di Romagna, Andrea Ancherani.

Penduduk dilaporkan terpaksa mengharungi air kotor dan lumpur tebal untuk menyelamatkan barang-barang berharga dari kediaman mereka di kawasan yang sebelum ini terkenal sebagai bandar bersejarah dan pusat gastronomi utama negara.

Lobi pertanian Coldiretti berkata, lebih 5,000 ladang musnah dengan ratusan haiwan lemas selepas puluhan ribu hektar ladang anggur, pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin ditenggelami air.

Pihak berkuasa berkata, sebahagian besar bekalan elektrik berjaya dipulihkan, tetapi kira-kira 27,000 orang masih bergelap.

Hampir 20 sungai melimpah membanjiri tenggara kawasan rendah berikutan hujan lebat awal minggu ini, menenggelamkan seluruh kawasan kejiranan dan tanah ladang serta merosakkan 400 jalan raya.

KESAN PERUBAHAN IKLIM

Petang semalam, Datuk Bandar Ravenna, Michele De Pascale, mengumumkan penduduk di enam bandar dibenarkan kembali ke rumah mereka, tetapi memberi amaran supaya mereka sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Keretakan di benteng sungai masih menimbulkan risiko kepada kawasan lain, yang sedang dipantau rapi.

“Ini kerana kami mendapat laporan mangsa yang maut termasuk sepasang suami isteri di perkampungan Ronta di Cesena yang dipercayai dihempap tembok ketika kedua-duanya pergi meninjau ladang herba mereka,” jelasnya.

Presiden Wilayah Emilia Romagna, Stefano Bonaccini berkata, bencana tersebut dilihat lebih buruk berbanding insiden gempa bumi yang melanda wilayah itu hampir 11 tahun lalu.

“Kami sudah melancarkan kempen mengumpul dana kerana kerja-kerja membaiki kerosakan yang berlaku di wilayah ini memerlukan usaha yang sangat besar,” katanya.

Syarikat pengeluar kereta mewah, Ferrari yang pangkalan Maranellonya, tidak jauh dari lokasi bandar yang dilandar banjir memaklumkan akan menyumbangkan dana berjumlah AS$1.1 juta (RM5.6 juta) untuk membantu penduduk yang terjejas.

Banjir itu turut menyebabkan perlumbaan Formula 1 (FI) G Grand Prix (GP) Emilia Romagna Ahad ini di Imola terpaksa dibatalkan.

Pakar memberi amaran bencana sebegini bakal menjadi kebiasaan berikutan perubahan iklim dan perbuatan manusia yang memburukkan lagi fenomena kemarau dan ribut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.