PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad melantik Mohammad Ridzuan Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bank digital Islamik pertama di Malaysia itu, berkuat kuasa 22 Mei 2026.
Sebelum pelantikan tersebut, Ridzuan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AEON Bank dari Februari 2023 hingga Februari 2026 sebelum dilantik sebagai Pegawai Penjaga (Officer-in-Charge) bank itu bermula 1 April 2026.
AEON Bank berkata, Mohammad Ridzuan memainkan peranan penting dalam pembangunan bank digital itu sejak fasa pra-Penilaian Kesiapsiagaan Operasi dan pra-pelancaran sehingga ke peringkat operasi semasa.
Katanya, beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad merentasi pelbagai sektor termasuk teknologi kewangan (fintech), pelaburan digital, insuretech, kawal selia pasaran dan tadbir urus pematuhan.
“Mohammad Ridzuan juga merupakan pengasas bersama beberapa syarikat fintech selain pernah memegang pelbagai jawatan penting di Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Selain itu, beliau kini merupakan Ahli Lembaga Penasihat Fintech Association of Malaysia, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) serta ahli panel penasihat industri di beberapa universiti tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lantikan Kerajaan di Majlis Dasar Inovasi Malaysia dan sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif DearTime Berhad.
Lembaga Pengarah AEON Bank menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Mohammad Ridzuan untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya bank itu berdasarkan kepakarannya dalam kewangan korporat, pematuhan kawal selia, tadbir urus risiko, keselamatan siber serta rangka kerja teknologi kewangan.
Beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang pencegahan pengubahan wang haram (AML), pencegahan pembiayaan keganasan (CTF), e-KYC, e-KYB dan ketekunan wajar pelanggan (CDD).
Dalam masa sama, Lembaga Pengarah AEON Bank turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz atas kepimpinan beliau dalam membangunkan AEON Bank sebagai bank digital patuh syariah pertama di Malaysia sepanjang dua tahun pertama operasinya.
Di bawah kepimpinan baharu itu, bank berkenaan akan terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan penyelesaian kewangan digital yang mudah diakses dan inklusif, selain memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan ekonomi digital negara serta industri fintech serantau.-UTUSAN










