AI tidak jejaskan TVET - Utusan Malaysia

AI tidak jejaskan TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG : Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak menjejaskan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebaliknya meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang menawarkan pendapatan lebih lumayan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, ini kerana permintaan terhadap tenaga kerja mahir terus meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.

“Dalam era AI hari ini, kita dapat melihat bahawa bidang TVET terus memberi pulangan yang besar kepada industri pekerjaan. Malah, pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional mampu menawarkan pendapatan yang kompetitif serta prospek kerjaya yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Eksplorasi TVET Giatmara Selangor 2026 di Ampang,  baru-baru ini.

Rizam berkata, bidang TVET seperti pemasangan paip (piping), perpaipan (plumbing), automotif, kimpalan, dandanan rambut, kecantikan dan pelbagai lagi kemahiran teknikal mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran pekerjaan serta mampu menawarkan pendapatan yang lumayan kepada pengamalnya.

Katanya, penguasaan kemahiran tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk mengisi keperluan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.

“Jika kemahiran ini dapat dikuasai dengan baik, peluang pekerjaan sentiasa ada. Pada masa sama, ia membantu mengisi kekosongan pekerjaan yang sebelum ini banyak diisi oleh warga asing.

“Anak-anak tempatan hari ini mempunyai peluang yang besar untuk menceburi bidang TVET dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui kemahiran yang mereka miliki,” katanya.

Jelasnya lagi, TVET turut memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan penyelenggaraan dan pembangunan negara kerana banyak kursus yang ditawarkan adalah selaras dengan keperluan sebenar industri.

“Bidang seperti kimpalan, automotif, dandanan rambut, kecantikan, spa dan pelbagai kemahiran lain sememangnya diperlukan negara dan perlu diisi oleh tenaga kerja tempatan.

“Dahulu kebanyakan bidang ini didominasi oleh pekerja asing, namun hari ini semakin ramai rakyat tempatan berjaya menguasainya hasil usaha kerajaan memperkasa institusi TVET seperti Giatmara dan pusat latihan kemahiran lain,” katanya.

Malah, jelas Rizal lagi, pekerjaan berasaskan kemahiran menawarkan kadar upah lebih tinggi kerana memerlukan kepakaran khusus dan tenaga kerja terlatih.

“Sebagai contoh, kerja-kerja pemasangan paip dan kimpalan memerlukan kemahiran profesional. Oleh sebab itu, kadar upah yang ditawarkan juga lebih tinggi dan mampu memberikan pendapatan yang baik kepada pengamalnya.

“Persepsi masyarakat terhadap TVET juga semakin berubah kerana ramai mula melihat bidang ini sebagai laluan kerjaya yang menjanjikan masa depan cerah dan pulangan yang besar,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN