Taufan Mocha ancam landa kem pelarian terbesar dunia

Taufan Mocha ancam landa kem pelarian terbesar dunia

KEM pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Persiapan kecemasan sedang dilakukan di kem pelarian terbesar dunia di selatan Bangladesh bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat Taufan Mocha.

Taufan Mocha dengan kekuatan angin selaju 175 kilometer sejam (km/j) dijangka melanda Bangladesh hari ini.  

Bencana itu dipercayai mampu mengundang risiko bahaya kepada lebih sejuta penduduk Rohingya yang ditempatkan di kem terletak di Cox’s Bazar.    

Lapor Arab News, kebanyakan pelarian yang tinggal di kawasan berbukit di kem itu, bakal terdedah kepada hujan, angin kencang dan tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman berkata, Taufan Mocha berubah menjadi `ribut yang sangat teruk’ pada pagi semalam.

Katanya, taufan itu dijangka melanda Cox’s Bazar pada waktu petang.

“Cox’s Bazar kini berada pada tahap yang sangat terdedah… semasa melanda, kelajuan angin boleh mencecah lebih 175 km/j.

Dari segi intensiti pula, taufan itu serupa dengan Taufan Sidr,” katanya.       

Selain itu, jabatan tersebut turut memberi amaran air pasang besar boleh berlaku setinggi dua meter atau lebih sekiranya ribut bertembung dengan ombak biasa apabila Taufan Mocha melanda kawasan pantai.     

Taufan Sidr yang melanda Bangladesh pada November 2007, disifatkan sebagai antara bencana alam paling teruk di negara itu.

Persatuan Bulan Sabit Merah menganggarkan hampir 15,000 orang terbunuh akibat dilanda Taufan Sidr.

Sementara itu, pihak berkuasa Bangladesh sedang memindahkan pelarian Rohingya dari `kawasan berisiko’ ke beberapa pusat komuniti.  

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian, Mizanur Rahman berkata, setakat ini, tiada pelan segera untuk melakukan pemindahan besar-besar di Cox’s Bazar.

Bagaimanapun, katanya, seramai 3,400 sukarelawan sudah digerakkan untuk respon kecemasan.

Malah, jelas beliau, beberapa sekolah dan dewan komuniti sudah dijadikan sebagai pusat perlindungan sementara kecemasan.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN