Suhu purata global bakal lepasi 1.5 darjah Celsius, dunia semakin panas

Suhu purata global bakal lepasi 1.5 darjah Celsius, dunia semakin panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Suhu purata bumi dijangka meningkat melebihi had 1.5 darjah Celsius buat pertama kali dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan pemanasan global yang semakin bertambah buruk.

Lapor BBC, pasukan saintis dan penyelidik yakin bumi berkemungkinan besar bakal memecahkan rekod suhu purata itu sebelum tahun 2027.

Peluang tersebut juga semakin meningkat disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida daripada aktiviti manusia dan corak cuaca El Nino yang akan melanda akhir tahun ini.

Jika had berkenaan dipecahkan, bermakna dunia adalah 1.5 darjah Celsius lebih panas daripada semasa separuh kedua Abad ke-19, sebelum pelepasan bahan api fosil daripada perindustrian mula meningkat.

Walaupun had tersebut direkodkan hanya dalam tempoh satu tahun, keadaan itu sudah memberi petanda jelas yang amat membimbangkan bahawa pemanasan global semakin pantas dan kita perlu meneruskan hidup dalam cuaca bumi yang lebih hangat.

SIMBOL PERJANJIAN PARIS

Angka 1.5 darjah Celsius itu merupakan simbol rundingan perubahan iklim global dan negara-negara bersetuju untuk mengejar usaha mengehadkan kenaikan suhu global daripada mencecah angka tersebut di bawah perjanjian Paris 2015.

Rekod suhu purata melebihi 1.5 darjah Celsius setiap tahun selama satu atau dua dekad akan menyaksikan kesan pemanasan yang jauh lebih besar seperti gelombang haba berpanjang, ribut yang lebih kuat serta peningkatan kekerapan bencana kebakaran hutan.

Sejak 2020, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberikan anggaran dunia akan menembusi ambang had purata tersebut dan awalnya meramalkan kurang 20 peratus peluang untuk memecahkan rekod itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tetapi tahap keyakinan terus meningkat kepada 50 dan kini mencecah 66 peratus berikutan fenomena pemanasan global yang semakin pantas membelenggu dunia.

Namun Setiausaha Agung WMO, Profesor Petteri Taalas berkata, para penyelidik menekankan bahawa suhu perlu kekal pada atau melebihi 1.5 darjah Celsius selama 20 tahun untuk mengesahkan bahawa ambang perjanjian Paris sudah dilepasi.

“Laporan ini tidak bermakna dunia akan secara kekal melebihi paras 1.5 darjah Celsius seperti dinyatakan dalam Perjanjian Paris 2015 yang merujuk kepada pemanasan jangka panjang selama bertahun-tahun.

“Bagaimanapun, WMO hanya mahu mengingatkan dan memberi amaran awal bahawa bumi bakal melepasi paras 1.5 darjah Celsius secara sementara dengan kekerapan yang semakin meningkat,” jelasnya.

BAHANA PENINGKATAN SUHU BUMI

Selama beberapa dekad saintis percaya had purata mencecah 2 darjah Celsius merupakan ambang kesan berbahaya namun pada 2018 mereka menyemak semula anggaran itu dan menunjukkan bahawa angka 1.5 sudah cukup membawa bencana kepada dunia.

Sepanjang beberapa dekad lalu, dunia yang terlalu panas meningkatkan merkuri sehingga pada tahun 2016, had suhu paling panas dalam rekod global mencecah 1.28 darjah Celsius melebihi angka pra-industri.

Menurut Ketua Ramalan Jarak Jauh Jabatan Meteorologi Britain, Profesor Adam Scaife, haba tambahan yang akan dibawa oleh El Nino ke permukaan Pasifik juga berkemungkinan akan mendorong suhu global ke paras tinggi baharu tahun depan.

“Perlu diperhatikan bahawa banyak ramalan dibuat menunjukkan El Nino sedang berkembang pada musim sejuk ini dan menunjukkan amplitud yang cukup besar,” katanya.

Beliau menjelaskan, kawasan Artik akan mengalami pemanasan pada tahap yang lebih tinggi daripada kebanyakan wilayah, dengan anomali suhu dijangka tiga kali lebih besar daripada angka global dalam lima musim sejuk hemisfera utara akan datang.

Eropah Utara termasuk United Kingdom (UK) juga berkemungkinan akan mengalami peningkatan hujan sepanjang bulan Mei hingga September dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya