Russia dakwa Ukraine rancang bunuh Putin - Utusan Malaysia

Russia dakwa Ukraine rancang bunuh Putin

TANGKAP layar video yang menunjukkan sebuah dron meletup di ruang udara Kremlin di Moscow.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menuduh Ukraine merancang membunuh Presiden, Vladimir Putin dalam serangan dron ke atas kubu Kremlin di Moscow dan mengancam akan membalas serangan tersebut.

Russia berkata, dua kenderaan udara tanpa pemandu disasarkan ke Kremlin.

“Hasil tindakan tepat pada masanya yang diambil oleh tentera dan perkhidmatan khas dengan penggunaan sistem perang radar, peranti itu tidak dapat digunakan.

“Kami menganggap tindakan ini sebagai tindakan pengganas yang dirancang dan cubaan ke atas nyawa presiden, yang dilakukan pada malam sebelum Hari Kemenangan dan perarakan 9 Mei ini, di mana kehadiran tetamu asing juga dirancang,” kata Kremlin dalam satu kenyataan.

Serpihan dron bertaburan di kawasan Kremlin tetapi tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Menurut Agensi berita RIA, Putin  tidak berada di Kremlin ketika serangan itu sebaliknya bekerja di kediamannya di Novo Ogaryovo di luar Moscow.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Kyiv tiada kaitan dengan insiden yang dilaporkan itu.

“Kami tidak menyerang Putin atau Moscow, kami berperang di wilayah kami.

“Kami mempertahankan kampung dan bandar kami. Kami tidak mempunyai cukup senjata untuk melakukannya,” kata Zelenskyy dalam sidang akhbar semasa lawatannya ke Finland kelmarin.

Seorang pembantu kanan Zelenskyy menyifatkan tuduhan itu sebagai petanda bahawa Kremlin sedang merancang serangan baharu yang lebih besar ke atas Ukraine.

Tidak lama selepas pengumuman Kremlin, Ukraine mengeluarkan amaran terhadap serangan udara ke atas ibu kota Kyiv dan bandar-bandar lain.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN