Kumpulan bertelagah di Sudan mulakan rundingan di Jeddah - Utusan Malaysia

Kumpulan bertelagah di Sudan mulakan rundingan di Jeddah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi mengesahkan dua kumpulan yang bertelagah memulakan rundingan di Jeddah walaupun pertempuran masih belum menunjukkan tanda-tanda reda terutama di ibu negara Khortoum.

Dalam satu kenyataan bersama, AS dan Arab Saudi mengalu-alukan permulaan rundingan dan menggesa sokongan global yang berterusan untuk menamatkan pertempuran.

Arab Saudi dan AS turut menggesa dua kumpulan itu supaya menimbangkan kepentingan negara serta rakyat Sudan selain berusaha menghasilkan gencatan senjata yang berkekalan.

“Kerajaan Arab Saudi dan AS menggesa kedua-dua pihak mengambil kira kepentingan negara Sudan serta rakyatnya selain terlibat secara aktif dalam rundingan ke arah gencatan senjata dan usaha menamatkan konflik,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menamakan organisasi lain yang turut serta dalam usaha melaksanakan rundingan tersebut termasuk Britain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Liga Arab, Kesatuan Afrika dan beberapa kumpulan lain.

Lebih 500 penduduk terkorban sepanjang tiga minggu pertempuran antara pasukan Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang diterajui Ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo yang juga dikenali sebagai Hemedti.

Beberapa gencatan senjata dicapai sejak pertempuran meletus pada 15 April, tetapi tidak ada yang dihormati.

Semalam, kedua-dua pasukan tentera itu mengesahkan sudah menghantar utusan ke Arab Saudi bagi membincangkan butiran gencatan senjata dan proses melanjutkannya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya