Inflasi United Kingdom cecah paras tertinggi dalam tempoh 46 tahun - Utusan Malaysia

Inflasi United Kingdom cecah paras tertinggi dalam tempoh 46 tahun

LEBIH dua per tiga penduduk Britain kurang berbelanja membeli barang keperluan asas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jawatankuasa Parlimen Britain hari ini melancarkan siasatan mengenai kesaksamaan rantaian bekalan makanan di negara itu, dalam usaha memahami mengapa isi rumah menghadapi paras tertinggi inflasi harga makanan sejak 1970-an.

Jawatankuasa Persekitaran, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (EFRA) yang bersifat merentas parti di Dewan Rakyat, berkata ia akan meneliti bagaimana keuntungan dan risiko dikongsi dari ‘ladang ke pinggan’, dan tahap peraturannya.

Jawatankuasa itu juga akan mengkaji kesan faktor luaran ke atas rantaian bekalan, seperti makanan import dan harga komoditi global.

“Apabila ramai orang bergelut untuk memberi keluarga mereka makanan yang enak pada harga berpatutan, menjadi tugas kami sebagai jawatankuasa untuk mengetahui perkara sebenar yang sedang berlaku.

“Kami tahu pengguna membayar harga lebih tinggi, tetapi persoalannya, adakah bahagian lain rantaian bekalan mendapat keuntungan melampau atau adakah sebahagian daripada mereka turut merasai tekanan?,” kata Pengerusi Jawatankuasa EFRA dan Ahli Parlimen Parti Konservatif, Robert Goodwill.

Awal bulan ini, kerajaan Perancis berjanji mengambil tindakan terhadap peruncit makanan yang gagal menurunkan harga barangan borong kepada pengguna.

Di Britain, parti pembangkang Liberal Demokrat meminta kerajaan menyiasat keuntungan pasar raya.

Kumpulan pasar raya, termasuk peneraju pasaran, Tesco, menafikan dakwaan bahawa mereka mengaut keuntungan, sebaliknya mendakwa pendapatan mereka terjejas dengan julat operasi empat peratus atau kurang daripada itu, manakala firma barangan pengguna utama seperti Unilever dan Nestle mempunyai julat 16 hingga 17 peratus.

Data rasmi menunjukkan harga makanan UK adalah 19.1 peratus lebih tinggi pada Mac berbanding tahun sebelumnya, kenaikan terbesar sejak Ogos 1977, manakala pada April, menurut data industri, inflasi barangan runcit adalah 17.3 peratus.

Semalam, Bank of England (BoE) berkata, pihaknya menjangkakan inflasi keseluruhan yang kekal melebihi 10 peratus pada Mac , jatuh lebih perlahan daripada yang diharapkan.

Kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan dalam kadar yang tinggi dan berterusan serta tidak dijangka membabitkan harga makanan.

Peruncit makanan berkata, secara keseluruhan, mereka menjangkakan harga akan meningkat pada 2023 tetapi kadar inflasi akan menurun sepanjang tahun. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN