KUALA LUMPUR: Lima lelaki termasuk dua pengarah pusat kesihatan mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk membenarkan premis perniagaan mereka menjalankan aktiviti tidak bermoral, November tahun lalu.
Di hadapan Majistret S. Arunjothy, Lee Leong Yaw, 59, dan Pung Hiyun Hee, 70, didakwa membenarkan aktiviti tidak bermoral dijalankan di premis mereka, selain daripada aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen iaitu sauna, jakuzi, aerobik, pusat kecergasan, gimnasium, kedai kopi dan kafe.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Ipoh Kecil, Chow Kit pada pukul 8 malam, 28 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20 (1) (c) yang boleh dihukum bersama Seksyen 38 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-dua sekali.
Tertuduh juga boleh didenda maksimum RM200,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan kesalahan.
Di mahkamah sama, pekerja syarikat itu, Ong Seng Teck, 64, didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi video lucah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 11.15 pagi, 30 November 2025.
Sementara itu, di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim pula, pengunjung premis, Mohd. Fikri Mohd. Razali didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi gambar dan video lucah pada tempat, masa dan tarikh sama.
Seng Teck dan Mohd. Fikri didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Seorang lagi pengunjung, Muhammad Wafiy Dinie Azmi, 20, didakwa di hadapan Majistret IIli Marisqa Khalizan atas pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun di pusat kesihatan sama.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’Larifin, Iman Nurhidayah Ezani dan Syafika Azwa Fikri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zaid Malek, Mahajoth Singh, Reenajit Kaur Golen, Raqib Osman dan Jeichandran Santhirasegaran.
Mahkamah membenarkan Leong Yaw dan Hiyun Hee diikat jamin RM2,000 seorang manakala Seng Teck (RM3,800), Mohd. Fikri (RM4,000) dan Muhammad Wafiy Dinie (RM2,800) masing-masing dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 April, 18 Mei dan 9 Jun ini.
Tahun lalu, seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan selepas polis mengadakan serbuan di sebuah premis spa dan kesihatan di Chow Kit yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul serta melakukan aktiviti tidak bermoral. – UTUSAN










