PETALING JAYA: Kerajaan mula menyalurkan bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 di bawah inisiatif Budi Madani (Budi Diesel) bermula hari ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, bagi Mac 2026, penerima Budi Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi akan menerima tambahan tersebut, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan meningkat kepada RM300 bagi bulan ini.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melindungi kesejahteraan rakyat khususnya ketika berdepan cabaran kenaikan harga minyak global.
“Tambahan bantuan ini memastikan golongan yang terkesan terus mendapat sokongan sewajarnya, selari dengan usaha berterusan kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan bersasar bagi membantu rakyat yang terkesan, terutama dalam sektor yang bergantung kepada penggunaan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










