PETALING JAYA: Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) terus mencatat momentum memberangsangkan apabila menerima sebanyak 6,044 permohonan bernilai RM52 juta setakat semalam.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,590 permohonan telah diluluskan dengan nilai kelulusan mencecah RM35 juta.
Katanya, ia membuktikan keberkesanan skim berkenaan dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapatkan akses pembiayaan segera menjelang musim perayaan.
“Inisiatif yang dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong pada 5 Februari lalu itu dilihat menjadi pemangkin penting kepada modal pusingan usahawan, khususnya bagi menampung peningkatan permintaan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
“Sambutan terhadap skim tersebut amat menggalakkan terutama dalam kalangan usahawan mikro yang memerlukan pembiayaan pantas dan mudah bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KUSKOP berkata, kejayaan pelaksanaan skim BARAKAT mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempermudah birokrasi serta mempercepatkan akses modal kepada golongan usahawan.
“Ia selaras dengan Strategi A.B.C.D KUSKOP yang memberi penekanan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses kepada Pasaran.
“KUSKOP akan terus menambah baik mekanisme penyampaian skim pembiayaan sedia ada bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat, sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN








