BOGOTA: Empat kanak-kanak orang Asli termasuk bayi berusia 11 bulan yang hilang selama lebih dua minggu akibat nahas pesawat di Amazon, ditemukan selamat.
Selain bayi, tiga kanak-kanak tersebut berusia antara empat hingga 13 tahun.
Ketika kejadian, semua kanak-kanak itu berada dalam pesawat yang menuju ke San Jose del Guaviare, iaitu satu daripada bandar utama di hutan Amazon Colombia.
Namun, ketika dalam penerbangan, pesawat itu terhempas di Amazon, menyaksikan tiga penumpang lain terbunuh pada 1 Mei lalu.
Presiden Colombia, Gustavo petro berkata, penemuan keempat-empat kanak-kanak itu disifatkan sebagai ‘kegembiraan buat negara’.
Menerusi Twitter, Petro menyatakan kesemua kanak-kanak itu ditemukan selepas pasukan tentera melakukan operasi mencari dan menyelamat yang sukar.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa mengerahkan lebih 100 tentera dengan anjing pengesan bagi mencari semua mangsa hilang.
Pasukan keselamatan berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ancaman haiwan liar dan pokok hutan setinggi 40 meter.
Sebanyak tiga helikopter digunakan untuk melakukan operasi tersebut dengan satu daripadanya mengeluarkan mesej yang dirakam daripada nenek mangsa yang meminta mereka supaya kekal di satu tempat dalam bahasa Huitoto.
Pasukan penyelamat percaya semua mangsa terperangkap di dalam hutan di bahagian selatan Caqueta sejak 1 Mei lalu.
Seorang daripada penumpang, Ranoque Mucutuy merupakan ibu kepada empat kanak-kanak tersebut turut terkorban dalam nahas berkenaan.
Antara jejak yang dikesan pihak berkuasa termasuk tempat perlindungan diperbuat daripada kayu dan dahan, gunting, getah rambut dan botol susu bayi.
Sementara itu, pihak berkuasa masih belum menyatakan punca nahas dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah enjin. – AFP