Delegasi Myanmar lawat kem Rohingya di Bangladesh - Utusan Malaysia

Delegasi Myanmar lawat kem Rohingya di Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNAF: Delegasi mewakili kerajaan Myanmar melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh di bawah program perintis penghantaran pulang kira-kira 1,200 pelarian Rohingya ke Rakhine.

Kebanyakan pelarian terbabit menghuni kem daif yang sesak di tenggara Bangladesh sejak melarikan diri daripada kekejaman junta tentera Myanmar pada a 2017, yang kini disiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan etni secara besar-besaran.

Beberapa usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya sebelum ini gagal tetapi di bawah usaha terbaru sekarang, Myanmar dan Bangladesh yakin sekitar 1,100 orang akan bersetuju kembali ke Rakhine, Myanmar.

Malah, 20 pelarian Rohingya dibawa melawat kem penempatan semula yang disediakan junta tentera Myanmar untuk mereka di Rakhine, di atas tanah yang sebelum ini dimiliki generasi terdahulu etnik Rohingya, sehingga ia dirampas.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shams ud Douza berkata, kumpulan itu akan bercakap dengan mereka yang berada dalam senarai bakal dipindahkan.

“Lawatan itu adalah sebagai langkah untuk membina keyakinan berikutan golongan etnik itu masih bimbang mengenai nasib mereka apabila kembali ke Rakhine,” katanya.

Bagaimanapun, sebahagian besar etnik Rohingya risau kerana tuntutan mereka diberi kewarganegaraan tidak dipertimbangkan, sebaliknya mereka ditawarkan kad pengenalan kebangsaan (NVC), yang tidak memberi mereka hak sebagai warganegara.

Justeru, sebahagian besar masih sangsi dengan pelawaan junta tentera itu dan tidak mahu kembali ke Myanmar dan menjadi ‘pelarian di negara sendiri’.

Ketua unit Rohingya di kementerian Luar Bangladesh, Mainul Kabir, memberitahu wartawan bahawa penghantaran pulang hanya satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu Rohingya.

“Semua kekeliruan, syak wasangka dan kesangsian akan terhapus secara beransur-ansur apabila program penghantaran pulang ini digerakkan,” katanya.

Minggu lalu, pertubuhan kemanusiaan, Human Rights Watch, mengkritik program penghantaran pulang etnik Rohingya itu kerana tidak yakin dengan keikhlasan junta tentera Myanmar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya