Bumi Gaza terus bermandi darah, Zionis tingkat serangan udara

Bumi Gaza terus bermandi darah, Zionis tingkat serangan udara

ROKET yang dilancarkan dari Gaza ke wilayah Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Pasukan tentera Israel dan pasukan keselamatan Gaza saling berbalas serangan di kawasan sempadan, menyaksikan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh dua hari sejak konflik terbaharu itu berlaku.

Siren di sekitar Tel Aviv dan bahagian selatan Israel berbunyi sebagai amaran serangan roket dari Gaza ketika Mesir berusaha untuk melaksanakan gencatan senjata bagi meredakan keadaan.

Pergerakan Jihad Islam memaklumkan, seorang lagi komando kanannya terbunuh dalam serangan udara tentera Zionis pada awal pagi semalam.

“Ali Ghali yang merupakan komander di unit pelancaran roket terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di selatan Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera Briged al-Quds.

Dalam pada itu, kepulan asap tebal dapat dilihat menyelubungi sekitar Gaza selepas tentera Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan sejumlah tapak pelancaran roket Jihad Islam.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memaklumkan, lebih 400 roket dilancarkan dari Gaza, manakala Jihad Islam menegaskan mereka bersama rakyat Palestin ‘sesekali tidak akan menyerah kalah’ dengan situasi yang berlaku.

Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan, tujuh orang terbunuh dalam serangan kelmarin, iaitu sehari selepas Israel melancarkan serangan udara di wilayah Palestin, mengakibatkan 15 orang terkorban.

Selain itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, wilayah haram itu masih dalam ‘mood berkempen’ dan setakat ini, tiada rakyat Israel cedera atau terbunuh dalam konflik tersebut.

Konflik Palestin-Israel semakin memuncak sejak pembentukan pakatan baharu antara parti pimpinan Netanyahu dengan parti-parti ortodoks pada Disember tahun lalu.

USAHA MESIR

Terdahulu, sumber Israel memaklumkan Mesir cuba untuk melaksanakan gencatan senjata melibatkan kedua-dua pihak bagi meredakan keadaan.

Sumber di Gaza turut mengesahkan bahawa Kaherah kini dalam proses untuk melaksanakan gencatan.

Di Washington, White House menyatakan Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Jake Sullivan sudah bercakap dengan rakan sejawatnya dari Israel dan menegaskan sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap keselamatan Israel.

Menteri Luar Israel, Eli Cohen pula memberitahu media tempatan bahawa Jihad Islam ‘merayu untuk melakukan gencatan senjata’.

Namun, pergerakan itu berikrar untuk ‘tidak memberi muka’ kepada Israel dan akan membalas semua serangan yang dilancarkan.

Keganasan di Gaza itu bermula selepas Israel melancarkan serangan udara di Gaza sehingga mengakibatkan tiga pemimpin kanan Jihad Islam dan 12 rakyat Palestin terbunuh, termasuk empat kanak-kanak.

SEDIA HADAPI SITUASI TERBURUK

Dalam pada itu, kebanyakan penduduk Gaza bersedia untuk menghadapi konflik terburuk sekiranya kedua-dua pihak terus berbalas serangan.

Konflik yang berlaku juga menyaksikan banyak premis perniagaan ditutup di Gaza dan penduduk enggan keluar rumah kerana takut menjadi mangsa serangan udara.

“Kami sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi paling teruk.

“Semua orang takut keluar rumah kerana bimbang menjadi mangsa serangan. Keadaan ketika ini amat tegang dan jalan-jalan utama sunyi.

“Kami dapat rasakan perang besar akan berlaku,” kata seorang penduduk Gaza, Monther Abdullah.

ZIONIS DIKUTUK

Jurucakap Hamas dan Jihad Islam, Abdul latif al-Qanou berkata, serangan balas oleh pergerakan itu terhadap serangan udara Israel adalah sebagai ‘balas dendam’ terhadap kematian beberapa pejuang kanan Jihad Islam.

Dalam tempoh dua hari, empat anggota kanan Jihad Islam terkorban, menyebabkan pergerakan itu berikrar untuk menuntut bela kematian mereka.

Liga Arab kelmarin mengutuk serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dengan menyifatkannya sebagai ‘tindakan tidak berperikemanusiaan’.

“Serangan yang menyasarkan penduduk awam, terutamanya wanita dan kanak-kanak amat tidak boleh diterima.

“Israel perlu sedar dengan tindakan itu dan kerana merekalah konflik di Gaza akan berterusan,” tegas liga tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya