PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam pertempuran berhubung pertikaian tanah antara dua puak sejak puluhan tahun di barat laut Pakistan.
Pegawai kanan polis, Farhan Khan berkata, puak Akhorwal melepaskan tembakan ke arah puak Suni Khel dari kawasan tinggi ketika puak itu menandakan sempadan di kawasan pergunungan Darra Adam Khel, kira-kira 100 kilometer (km) dari sempadan Afghanistan.
“Kedua-dua puak dilengkapi dengan senjata api dan dalam tempoh beberapa minit sahaja, pertempuran ganas itu berlaku dan mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi,” katanya.
Menurut Farhan, pertempuran itu berlaku susulan kegagalan pimpinan puak dikenali sebagai jirga mencapai sebarang resolusi berhubung pertikaian tanah itu.
“Pertempuran itu mengakibatkan seramai 12 individu dari puak Suni Khel dan empat individu dari puak Akhorwal terbunuh, manakala empat lagi individu cedera,” kata jurucakap polis, Fazal Naeem.
Pergaduhan antara puak kerap berlaku di Pakistan.
Namun, ia boleh berlanjutan dan bertukar ganas membabitkan penduduk di wilayah pergunungan di barat laut Pakistan yang mana masyarakatnya terikat pada kod kehormatan suku kaum mereka.
Menurut polis, keadaan di kawasan Darra Adam Khel kini terkawal dengan bantuan campur tangan jirga. – AFP