Palang Merah, WHO mahu jaminan akses kemanusiaan - Utusan Malaysia

Palang Merah, WHO mahu jaminan akses kemanusiaan

PENDUDUK Sudan menunggu bas untuk melarikan diri dari selatan Khartoum ketika pertempuran antara pasukan tentera semakin memuncak.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Persatuan Palang Merah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu pihak yang berperang di Sudan menjamin akses kemanusiaan bagi mereka yang memerlukan ketika jumlah kematian dalam pertempuran itu dilaporkan menghampiri 300 orang dengan lebih 1,800 tercedera.

 Letupan menggegarkan ibu kota Khartoum pada hari keempat pertempuran, walaupun dunia meningkatkan gesaan antarabangsa untuk menamatkan permusuhan.

 “Semua pihak perlu memastikan akses yang tidak terhad dan selamat ke kemudahan kesihatan bagi mereka yang cedera dan semua individu yang memerlukan rawatan perubatan,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Alessandra Vellucci mengesahkan mempunyai 800 kakitangan antarabangsa dan 3,200 warga negara di Sudan tetapi ketika ini pertubuhan itu tidak mempunyai akses masuk atau keluar dari negara itu.

 “Kami sudah tentu bimbang dengan keselamatan mereka kerana tidak dapat melaksanakan tugas dan beroperasi seperti biasa,” katanya.

 Ketua Delegasi Sudan untuk Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah (IFRC), Farid Aiywar menyeru semua pihak membenarkan koridor bantuan kemanusiaan beroperasi di negara itu.

“Kami mempunyai beribu-ribu sukarelawan yang bersedia, berkebolehan dan terlatih untuk melaksanakan perkhidmatan kemanusiaan di negara itu. Malangnya, disebabkan keadaan semasa, mereka tidak dapat bergerak,” katanya kepada pemberita di Geneva melalui pautan video dari Nairobi.

Tedros berkata, bekalan yang diagihkan WHO kepada kemudahan kesihatan sebelum keganasan tercetus juga semakin berkurangan  dan hospital Khartoum yang merawat ramai orang awam turut dihalang oleh pemotongan bekalan elektrik dan air.

“Terdapat laporan yang membimbangkan mengenai beberapa kemudahan kesihatan dirompak dan yang lain digunakan untuk tujuan ketenteraan.

“Beberapa hospital juga terpaksa ditutup kerana serangan berterusan dan kekurangan kakitangan serta dan bekalan perubatan.

“Saya menggesa semua pihak untuk mematuhi seruan gencatan senjata kemanusiaan, untuk meletakkan senjata dan berusaha ke arah penyelesaian yang aman,” kata Ghebreyesus.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya