JAKARTA: Kementerian Kewangan Indonesia menjangkakan kadar inflasi akan terus terkawal sepanjang bulan Ramadan ini.
Ketua Badan Dasar Fiskal (BKF) Kementerian Kewangan, Febrio Kacaribu dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan terus mengekalkan kestabilan harga komoditi makanan sepanjang cuti keagamaan kebangsaan Ramadan dan Aidilfitri.
“Kestabilan harga semasa cuti keagamaan kebangsaan adalah kunci penting untuk mengekalkan keselamatan makanan dan kuasa beli rakyat,” kata Febrio seperti dipetik Antara News.
Jelas beliau, kerajaan pusat dan wilayah akan terus memantau harga dan ketersediaan makanan, menjalankan operasi pasaran dan mengadakan bazar komoditi asas pada harga murah serta menambah baik stok dan pengedaran komoditi.
Selain itu, program bantuan beras yang mula disalurkan pada 31 Mac lalu juga diharap dapat membantu mengawal harga beras dan memudahkan masyarakat mendapatkan makanan ruji.
Menurut Febrio, inflasi sepanjang Ramadan tahun ini kekal agak stabil, seperti yang direkodkan bulan lalu pada kadar 4.97 peratus, susut berbanding inflasi 5.47 peratus pada Februari.
Kadar inflasi harga makanan yang tidak menentu juga menurun dengan ketara daripada 7.62 peratus pada Februari kepada 5.83 peratus pada Mac.
Bagaimanapun, pada asas bulan ke bulan, terdapat sedikit kenaikan harga beberapa komoditi makanan berikutan peningkatan permintaan daripada masyarakat sepanjang bulan puasa.
Selain makanan, penurunan kadar inflasi pada Mac berbanding Februari juga disebabkan oleh kejatuhan kadar inflasi komponen teras, yang mencapai 2.94 peratus pada Mac.
Kadar tersebut lebih rendah berbanding 3.09 peratus yang direkodkan pada Februari lalu, sejajar dengan penurunan tekanan ke atas harga komoditi global.