Isu China, Ukraine dominasi Persidangan G7 di Jepun - Utusan Malaysia

Isu China, Ukraine dominasi Persidangan G7 di Jepun

MENTERI-menteri Luar negara G7 menghadiri persidangan di Karuizawa, Jepun semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KARUIZAWA: Diplomat tertinggi negara G7 tiba di bandar peranginan Karuizawa di Jepun untuk menghadiri persidangan yang dikuasai oleh isu tekanan China yang semakin meningkat ke atas Taiwan serta perang Russia di Ukraine.

Tidak akan ada isu berkaitan kekurangan dalam cabaran diplomatik dan keselamatan untuk dibincangkan oleh menteri-menteri luar negeri yang tiba di Jepun, tetapi acara serantau tersebut bakal mempertajam tumpuan terhadap benua Asia.

TINGKAT LANGKAH BERJAGA-JAGA

Pertemuan itu diadakan beberapa hari selepas China menamatkan latihan ketenteraan utama di sekitar Taiwan dengan Beijing menghalang kapal dari kawasan utara pulau itu.

Khamis lalu, Korea Utara mendakwa melancarkan  peluru berpandu balistik antara benua bahan api pepejal terbaharu dalam ujian bertubi-tubi yang semakin membimbangkan dunia.

Tuan rumah Jepun berminat untuk memastikan cabaran serantau menerajui agenda persidangan dan menekankan kepercayaannya bahawa pencerobohan Russia ke atas Ukraine meningkatkan keperluan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga di rantau Asia.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang merombak dasar pertahanan dan perbelanjaan dalam menghadapi kuasa China yang semakin meningkat, berulang kali memberi amaran bahawa Ukraine hari ini boleh bertukar menjadi Asia Timur.

“Pendirian asas Jepun ialah keselamatan Eropah dan Indo-Pasifik tidak boleh dibincangkan secara berasingan. Mereka saling berkait antara satu sama lain,” tegas pegawai kerajaan Jepun.

G7 juga kerap memberi amaran kepada China terhadap percubaan untuk merampas Taiwan sejak kebelakangan ini.

“Peningkatan ketenteraan di Selat Taiwan akan menjadi senario ngeri bagi seluruh dunia,” kata Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock.

Tetapi desakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron supaya Eropah mengelakkan krisis yang bukan milik mereka ketika lawatannya ke Beijing minggu lalu menimbulkan kemarahan dalam kalangan sekutu Paris.

Paris berusaha untuk meredakan ketegangan, menegaskan pandangan Perancis terhadap isu itu tidak berubah dan kebanyakan pemerhati menjangkakan kumpulan G7 akan mengulangi pendirian sebelum ini yang memberi amaran kepada China terhadap usaha mengubah status quo secara paksa.

KEBEBASAN BERGERAK

Namun, Profesor Sains Politik Universiti Temple Jepun, Paul Nadeau berpedapat, komen Macron mendedahkan realiti sebenar kumpulan yang diaggotai oleh Jepun, Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada, Perancis, Itali, Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) itu.

“Setiap ahli G7 masih mahukan sedikit autonomi dalam cara mereka meneruskan hubungan dengan China. Mereka tidak mahu terlalu komited, mereka mahu mengekalkan sedikit kebebasan untuk bergerak dan menentukan hala tuju mereka sendiri,” jelasnya.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, perbincangan akan mencerminkan kebimbangan kolektif mengenai beberapa tindakan yang diambil China.

“Saya fikir akan ada perbincangan tentang bagaimana kumpulan G7 boleh terus bersepakat untuk melaksanakan pendekatan secara bersama dan bersepadu.

“Kumpulan negara-negara ini juga sekali lagi menuntut pengunduran segera Russia dan berikrar menyediakan sokongan berterusan terhadap Ukraine,” katanya.

Kedua-dua pencerobohan Russia dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap China mencetus tumpuan baharu berkaitan keselamatan ekonomi dan keperluan mempelbagaikan rantaian bekalan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga dan semikonduktor.

Tokyo dan Washington memberi amaran tentang paksaan ekonomi dan menteri-menteri G7 dijangka akan membincangkan langkah-langkah untuk menangani isu itu.

Pertemuan dua hari itu juga turut membahaskan usaha menangani krisis antarabangsa lain termasuk cengkaman berterusan Taliban ke atas Afghanistan dan serangan terbaharu junta tentera di Myanmar.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya