Ukraine kembali eksport elektrik

Infrastruktur pulih: Ukraine kembali eksport elektrik

PEKERJA loji jana kuasa tiba untuk membaiki kerosakan selepas serangan Rusia di tengah Ukraine. -AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine kini dilaporkan mempunyai kapasiti mengeks­port elektrik ke negara-negara jiran dan Eropah buat kali pertama dalam tempoh enam bulan apabila infrastruktur tenaganya dikatakan pulih selepas pencerobohan Russia.

Lapor BBC, Russia dikatakan memulakan serangan dalam tempoh lama dan dengan se­ngaja menyerang infrastruktur tenaga Ukraine pada Oktober tahun lalu.

Serangan itu membawa kepada kejadian bekalan elektrik terputus sehingga menyebabkan beberapa bandar dalam Ukraine berada dalam kegelapan sewaktu musim sejuk.

JUAL LEBIHAN KUASA

Sebelum ini, Ukraine dikatakan terpaksa menghentikan eksport bekalan elektrik, tetapi kini akan dapat menjual lebihan kuasanya semula.

Menteri Tenaga Ukraine, Herman Halushchenko menandatangani perintah eksekutif itu yang membenarkan eksport walaupun pelanggan tempatan tetap menjadi keutamaan.

Beliau berkata, sistem itu menghasilkan kapasiti tambahan selama hampir dua bulan dan rakyat Ukraine tidak akan berdepan dengan sekatan.

“Musim sejuk yang paling sukar sudah berlalu.

“Langkah seterusnya adalah untuk mula mengeksport tenaga elektrik yang akan membolehkan kami menarik sumber kewangan tambahan untuk pembinaan semula yang diperlukan bagi infrastruktur tenaga yang musnah dan rosak, kata Haluschenko.

Haluschenko juga memuji ‘kerja raksasa’ jurutera dan rakan kongsi antarabangsa untuk memulihkan sistem ber­kenaan.

Bulan lalu, penduduk di seluruh Ukraine memberitahu BBC bahawa bekalan kuasa di Ukraine akan menjadi lebih dipercayai.

Seorang ibu muda di Dnipro, Inna Shtanko berkata, bandar-bandar di Ukraine kini sudah berubah dan kembali bercahaya.

“Akhirnya, lampu jalan kembali dan tidak lagi menakutkan untuk berjalan di kawasan bandar,” katanya.

SERANGAN RUSSIA TIDAK BERHENTI
Bagaimanapun, pengendali rangkaian elektrik negara itu, Ukrenergo, memberi amaran bahawa Ukraine tidak boleh berharap bahawa serangan Russia akan berhenti.

Ukrenergo berkata, Russia melancarkan lebih daripada 1,200 peluru berpandu dan dron di kemudahan tenaganya setakat ini sewaktu perang.

Syarikat itu menyifatkan serangan itu sebagai percubaan terbesar untuk memusnahkan sistem tenaga negara Eropah.

Di bandar-bandar di seluruh Ukraine pada musim sejuk ini, sesetengah orang awam terpaksa menggunakan hab yang dikenali sebagai pusat ketahanan untuk memanaskan badan semasa bekalan elektrik terputus dan ketika berada dalam suhu beku.

Hab tersebut menyediakan tenaga dan haba serta bekalan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

Setiap loji kuasa haba dan hidroelektrik Ukraine rosak sejak Russia mula menyasarkan infrastruktur tenaga mereka.

Kyiv juga kehilangan kawalan ke atas loji kuasa nuklear terbesar Eropah di Zaporizhzhia, yang berada di bawah kawalan Russia.

Pada Jun 2022, Ukraine berharap untuk membawa masuk (£1.33 bilion atau RM7.109 bi­lion) daripada eksport elektrik ke Kesatuan Eropah (EU) dan pasaran eksport utama tenaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.