JAKARTA: Syarikat penerbangan, Garuda Indonesia melancarkan kempen Lebaran ke Jakarta yang menawarkan diskaun menarik bagi tambang penerbangan bersempena cuti perayaan Aidilfitri tahun ini.
Lapor finance.detik.com, kempen itu menawarkan pelbagai promosi termasuk diskaun tiket penerbangan sehingga 55 peratus bagi destinasi ke Jakarta dari beberapa bandar di Indonesia.
Menurut Pengarah Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra, tawaran diskaun itu sah untuk tempoh perjalanan sehingga 1 Mei depan.
Kata beliau, kempen Lebaran ke Jakarta merupakan usaha berterusan syarikatnya untuk memenuhi keperluan orang ramai menerusi perkhidmatan penerbangan yang selamat dan selesa dengan harga lebih kompetitif.
Jelasnya, kempen itu juga terutamanya bagi mereka yang ingin meluangkan masa cuti perayaan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara di Jakarta.
“Kami memahami cuti Aidilfitri merupakan detik istimewa ditunggu-tunggu ramai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan saudara mara terdekat, bukan sahaja untuk terus berhubung malah untuk menikmati suasana percutian.
“Justeru, kami berharap kempen ini akan dapat memenuhi keperluan perjalanan udara untuk menerokai keunikan destinasi pelancongan terkemuka di Jakarta semasa cuti hari raya tahun ini.
“Kempen Lebaran ke Jakarta diadakan khusus bagi mereka yang ingin meluangkan masa di bandar itu dengan suasana Hari Raya yang berbeza dari tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Dilaporkan, terdapat beberapa harga istimewa ditawarkan bermula dari 700,000 rupiah (RM206.24) bagi penerbangan sehala ke Jakarta menerusi kempen itu.