EU anjur dialog, usaha pulihkan hubungan dengan China - Utusan Malaysia

EU anjur dialog, usaha pulihkan hubungan dengan China

URSULA von der Leyen menyampaikan ucaptama mengenai hubungan EU-China di Pusat Dasar Eropah (EPC) di Brussels, Belgium minggu lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kesatuan Eropah (EU) sedang berusaha memulihkan semula hubungannya dengan China, walaupun keengganan Beijing mengutuk perang Moscow di Ukraine melemahkan prospek untuk sebarang kerjasama yang lebih besar.

Sekumpulan pemimpin Eropah tiba di Beijing dalam usaha untuk mengadakan dialog, dengan lawatan penting oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen dijadualkan minggu ini.

 Mereka mengikuti Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang sudah melawat Beijing sejak China membatalkan sekatan sifar Covid-19 pada Disember 2022.

Von der Leyen mengakui minggu lalu bahawa hubungan antara EU dan China menjadi semakin jauh dan sukar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Memahami antara satu sama lain harus bermula dengan bercakap antara satu sama lain,” katanya.

Ketua Program Asia di Yayasan Penyelidikan Strategik (FRS) Perancis, Valerie Niquet berkata, pertemuan berkenaan dibuat bagi merangka objektif jangka panjang untuk mengadakan sidang kemuncak EU-China di Beijing pada bulan Jun atau Julai tahun ini.

“Diplomat tertinggi EU, Josep Borrell juga akan melawat China tidak lama lagi. Kami dapat melihat ada keinginan untuk menjalin semula hubungan.

“China berminat dengan EU atas dua sebab. Dari segi ekonomi, ia adalah pasaran penting. Selain itu, hubungan baik dengan EU juga menjadi satu cara untuk mengelakkan tekanan Amerika Syarikat (AS) di pelbagai peringkat,” katanya.

UKRAINE SEBAGAI FAKTOR PENENTU

Agenda utama mesyuarat di Beijing minggu ini dilaporkan berkaitan konflik di Ukraine.

Kedua-dua Macron dan von der Leyen kelihatan bersedia untuk mengulangi komitmen EU terhadap Ukraine dalam perbincangan mereka dengan Presiden China, Xi Jinping.

Walaupun China berusaha untuk berkecuali dalam perang Russia di Ukraine, keengganan Beijing mengutuk pencerobohan Moscow pada Februari 2022  mencetuskan kecaman di Barat.

“Disebalik pencerobohan haram di Ukraine, Jin ping masih  mengekalkan persahabatan tanpa had dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

“Bagaimana China terus berinteraksi dengan perang Putin akan menjadi faktor penentu bagi hubungan EU-China pada masa hadapan,” kata von der Leyen.

KETIDAKSEIMBANGAN PERDAGANGAN

Topik besar lain yang bakal dibincangkan adalah ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua pihak.

Menurut Presiden Dewan Perniagaan EU di China, Joerg Wuttke, tahun lalu, EU hanya menghantar 1.6 juta kontena barangan eksport ke China sebaliknya negara itu mencapai kejayaan yang luar biasa dengan menghantar 6.4 juta kontena ke Eropah.

Wuttke juga menganggarkan bahawa pelaburan Eropah di China turun mendadak sebanyak 50 peratus kecuali pengeluar kereta Jerman, BMW yang   banyak melabur dalam pembangunan kenderaan elektrik di negara itu baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau percaya China akan menggunakan mesyuarat itu untuk membangkitkan isu Perjanjian Komprehensif EU mengenai Pelaburan dengan Beijing yang terhenti akibat perbalahan mengenai hak asasi manusia dan sekatan.

“Syarikat China mempunyai minat yang kuat untuk melabur di Eropah, sebab itu China mendesak sekali lagi untuk pengesahan perjanjian pelaburan itu.

“Tetapi keadaan geopolitik sudah banyak berubah sejak berakhirnya rundingan pada 2020, jadi peluang untuk melihat kemajuan pada perkara itu mungkin sukar,” jelasnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN