Dokumen Pentagon bocor: Intip Russia, Israel, Ukraine, Korea

Dokumen Pentagon bocor: Intip Russia, Israel, Ukraine, Korea Selatan

DOKUMEN mengenai strategi perang Ukraine didakwa bocor. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dokumen Pentagon yang sangat sulit dan dibocorkan dalam talian sejak beberapa minggu lalu mendedahkan me­ngenai bagaimana Amerika Syarikat (AS) mengintip rakan sekutu dan musuh.

Bagaimanapun, perkara itu sangat menggusarkan pegawai-pegawai AS yang kini bimbang pendedahan itu boleh menjejaskan sumber sensitif dan menjejaskan hubungan asing.

Beberapa dokumen yang me­nurut pegawai AS adalah sahih adalah pendedahan mengenai sejauh mana AS mencuri dengar taktik dan strategi sekutu utama termasuk Korea Selatan, Israel dan Ukraine.

PINTAS KOMUNIKASI
Dokumen yang lain turut didedahkan sejauh mana AS menembusi Kementerian Pertahanan Russia dan organisasi tentera upahan, Wagner Group, sebahagian besarnya melalui komunikasi yang dipintas dan sumber manusia yang kini diletakkan dalam bahaya.

Turut didedahkan kelemahan utama dalam persenjataan Ukraine, pertahanan udara, saiz batalion dan kesediaan pada titik kritikal dalam perang, ketika pasukan Ukraine bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas terhadap Russia.

Sumber yang rapat dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberitahu CNN, Ukraine telah pun mengubah beberapa rancangan ketenteraannya berikutan kebocoran maklumat berkenaan.

Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh berkata, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) turut membuka siasatan berhubung kebocoran dokumen ketenteraan AS.

Kata Sabrina, Pentagon turut mengadakan usaha antara agensi untuk menilai kesan kebocoran berkenaan.

“Jabatan Pertahanan terus menyemak dan menilai kesahihan dokumen bergambar yang beredar dalam laman media sosial dan yang kelihatan mengandungi bahan sensitif dan sangat terpe­ringkat.

“Usaha antara agensi sudah dibuat, tertumpu pada menilai kesan dokumen yang diambil terhadap keselamatan negara AS dan ke atas sekutu dan rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan.

BERBINCANG DENGAN SEKUTU
Sabrina menambah, pegawai AS sudah berbincang dengan rakan sekutu kelmarin mengenai kebocoran dokumen berkenaan dan memaklumkan kepada jawatan kuasa kongres yang berkaitan.

Kebocoran itu juga menyebabkan Pentagon mengambil langkah memperketatkan aliran dokumen yang sangat sensitif yang biasanya tersedia pada hari tertentu kepada ratusan penjawat awam.

Kata seorang pegawai pertahanan, The Joint Staff atau Kakitangan Bersama yang terdiri daripada kepemimpinan beruniform paling kanan Jabatan Pertahanan AS yang menasihati presiden, sedang meneliti senarai pengedarannya untuk melihat siapa yang mendapat laporan tersebut.

Banyak dokumen mempunyai tanda yang menunjukkan bahawa ia dihasilkan oleh bahagian perisikan Kakitangan Bersama, yang dikenali sebagai J2 dan kelihatan seperti dokumen taklimat.

Sabrina berkata, jabatan itu sedang meneruskan kajian semula mengenai perkara itu dan membuat rujukan kepada Jabatan Kehakiman.

Dokumen itu dilaporkan muncul dalam talian bulan lalu menerusi platform media sosial Discord, menurut tangkapan skrin yang disemak oleh CNN.

FOTO DOKUMEN RENYUK
Menurut sumber yang memberitahu CNN, dokumen yang tular tersebut merupakan foto dokumen renyuk yang diletakkan di atas majalah dan dikelilingi oleh objek rawak lain seperti beg zip tutup dan Gorilla Glue.

Ia kelihatan seolah-olah dokumen itu dilipat dan dimasukkan ke dalam poket sebelum dikeluarkan dari lokasi yang selamat.

Jurucakap Discord mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa mereka bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang me­ngenai siasatan ber­kenaan.

Walaupun mengintip adalah bahagian yang tidak dapat die­lakkan dalam cara komuniti perisikan AS mengumpul maklumat secara global, diplomat dari beberapa negara memberitahu CNN bahawa mereka kecewa dan menganggap ia berbahaya kepada reputasi AS berikutan maklumat itu didedahkan secara terbuka.

Kini, rakan sekutu AS dikatakan sedang melakukan penilaian kerosakan, berebut untuk menentukan sama ada mana-mana sumber dan kaedah mereka sendiri yang turut terjejas berikutan kebocoran dokumen itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya