China cetus kebimbangan Barat tingkat jejak di Antartika

China cetus kebimbangan Barat tingkat jejak di Antartika

KAPAL pemecah ais China Xuelong akan mempunyai akses berterusan ke pelabuhan Hobart dan perkhidmatan sokongannya di Antartika.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: China dilaporkan meningkatkan jejak di Antartika berdasarkan imej satelit baharu yang dikumpul oleh sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington.

Lapor Reuters , imej satelit itu menunjukkan pembinaan yang disambung semula buat kali pertama sejak 2018 di ste­sen kelima negara itu di benua kutub selatan.

Beijing dikatakan berusaha untuk membangunkan laluan perkapalan baharu di Artik dan mengembangkan penyelidikannya di Antartika, tetapi kerajaan Barat bimbang dengan keha­dirannya yang semakin mening­kat di kawasan kutub.

KEUPAYAAN PENGAWASAN
Kewujudan China di Antartika boleh memberikan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) keupayaan pengawasan yang lebih baik.

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) berkata dalam satu laporan, stesen baharu itu di Pulau Inexpressible berhampiran Laut Ross dijangka meliputi balai cerap dengan stesen bumi satelit yang akan membantu China mengisi jurang besar dalam keupayaannya untuk mengakses benua itu.

CSIS menggunakan imej satelit yang diambil pada bulan Januari lalu untuk mengenal pasti kemudahan sokongan baharu, bangunan sementara, pad helikopter dan asas untuk bangunan utama yang lebih besar di stesen seluas 5,000 meter persegi.

Agensi itu menganggarkan bahawa pembinaan boleh dilakukan China menjelang 2024.

PINTAS KOMUNIKASI SATELIT
“Walaupun stesen itu boleh menyediakan penjejakan dan komunikasi untuk rangkaian satelit cerapan kutub saintifik China yang semakin meningkat, peralatannya boleh digunakan serentak untuk memintas komunikasi satelit negara lain,” kata CSIS.

Dilaporkan stesen itu berada pada kedudukan yang baik untuk mengumpul risikan isyarat ke atas Australia dan New Zealand serta data telemetri pada roket yang dilancarkan dari Pusat Angkasa Arnhem baharu Australia, katanya.

Setelah siap, stesen itu di­jang­ka meliputi dermaga untuk kapal pemecah ais Xuelong, China berlabuh.

BERKEMBANG CEPAT
CSIS memberitahu Reuters bahawa walaupun AS masih mengekalkan kehadiran penyelidikan yang lebih besar di Antartika termasuk kemudahan terbesar di stesen McMurdonya, jejak China didapati berkembang lebih cepat.

Kata agensi itu, stesen kelima China akan berada 320 kilo­meter dari stesen McMurdo.

Di bawah Perjanjian Antartika 1959 di mana China menjadi ahli, aktiviti di benua itu dihadkan kepada tujuan aman.

Kakitangan tentera dibenarkan menjalankan penyelidikan saintifik tetapi dilarang mendirikan pangkalan, menjalankan gerakan atau menguji senjata.

Laporan Pentagon 2022 berkata, infrastruktur Antartika baharu China mungkin sebahagiannya bertujuan untuk mengukuhkan tuntutan masa depannya terhadap sumber asli dan akses maritim serta mening­katkan keupayaan PLA.

China bagaimanapun menolak dakwaan bahawa stesen tersebut akan digunakan untuk pengintipan.

Selain China, Amerika Syarikat, New Zealand, Korea Selatan, Itali, Jerman dan Perancis turut mempunyai stesen penyelidikan di Antartika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya