Australia haramkan TikTok pada peranti kerajaan

Australia haramkan TikTok pada peranti kerajaan

TikTok berdepan dilarang penggunaannya di Amerika Syarikat. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia akan mengharamkan penggunaan aplikasi perkongsian video  popular, TikTok pada semua peranti milik kerajaan.

Langkah itu sekaligus mengikut jejak beberapa negara Barat lain yang turut menyekat aplikasi dimiliki syarikat China itu atas kebimbangan keselamatan negara.

Peguam Negara, Mark Dreyfus dalam kenyataan memaklumkan larangan itu akan berkuat kuasa `secepat mungkin’.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat daripada agensi perisikan negara.   

Akhbar tempatan melaporkan Perdana Menteri, Anthony Albanese bersetuju dengan larangan menyeluruh penggunaan TikTok pada peranti kerajaan selepas selesai semakan dilakukan oleh jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Negeri Victoria juga mengambil langkah sama mengharamkan penggunaan aplikasi media sosial itu daripada semua peranti kerajaan, lapor akhbar Age.

Australia merupakan anggota negara terakhir dalam pakatan Five Eyes yang melaksanakan larangan penggunaan TikTok pada peranti kerajaan.

Negara itu mengikut langkah sekutunya Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada dan New Zealand dalam menguatkuasakan larangan penggunaan aplikasi media sosial itu. 

Dilaporkan, Perancis, Belanda dan Suruhanjaya Eropah (EU) juga mengambil langkah serupa.

Sebelum ini, beberapa pakar keselamatan siber memberi amaran aplikasi media sosial yang mempunyai lebih satu bilion pengguna, boleh digunakan untuk menyimpan data yang kemudiannya dikongsi dengan kerajaan China.

TikTok menyifatkan larangan sedemikian berpunca daripada xenophobia, namun syarikat itu pada Disember tahun lalu mendakwa pernah mengumpul data pengguna untuk menjejak wartawan.  

Pada awal tahun ini, kerajaan Australia mengumumkan akan menanggalkan kamera litar tertutup (CCTV) buatan China di pejabat ahli politik atas faktor kebimbangan keselamatan.  

Sementara itu, Pengurus Besar TikTok Australia, Lee Hunter berkata, pihaknya kecewa selepas mengetahui mengenai larangan menerusi laporan media, walaupun sebelum ini berulang kali mahu bekerjasama dengan kerajaan secara konstruktif mengenai dasar ini. – AFP/REUTERS        

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN