KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mahu Laut China Selatan menjadi sebuah kawasan perairan yang bebas dan terbuka selain boleh diakses oleh mana-mana kapal dagang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata, pihaknya mahu memelihara kebebasan berkenaan tetapi berasa bimbang dengan tingkah laku China yang enggan patuh terhadap undang-undang antarabangsa.
“Ketika ini, kapal dagang dari mana-mana negara boleh pergi ke perairan itu dan menghantar produk mereka tanpa halangan. Jadi, kami mahu memelihara ‘kebebasan’ itu.
“Namun, AS hanya bimbang dengan tingkah laku China yang enggan mematuhi undang-undang antarabangsa yang sudah ditetapkan. Kami melihat China menggunakan paksaan membabitkan beberapa situasi di perairan berkenaan,” katanya ketika ditemu bual di pejabat kedutaannya di Jalan Tun Razak di sini, kelmarin.
McFeeters turut menegaskan pihaknya tidak pernah campur tangan dalam menentukan sebarang keputusan dan tindakan yang diambil kerajaan Malaysia di perairan Laut China Selatan.
Katanya, pihaknya tidak akan melangkaui batasan sehingga mengarahkan Malaysia membuat sebarang tindakan di perairan itu.
“Ia terpulang kepada Malaysia untuk membuat keputusan sendiri. Kami hanya membantu mewujudkan platform bagi membolehkan negara ini melakukan apa yang sewajarnya,” katanya.
Selain Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan, negara China turut membuat tuntutan ke atas Laut China Selatan.
Beijing mengisytiharkan mempunyai hak sejarah ke atas hampir keseluruhan wilayah Laut China Selatan dengan memetik dokumen lama yang mengaitkan 90 peratus perairan itu kepada China.
Malah, Beijing mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague pada 2016 bahawa tuntutan China dari segi sejarah dibuat tanpa asas.
AS juga enggan membiarkan China menguasai wilayah marin berkenaan.
Laporan media sebelum ini pernah mendakwa AS akan membina empat pangkalan tentera baharu di sekitar Filipina, dengan sekurang-kurangnya satu kemudahan bakal ditempatkan berhampiran rantaian pulau dipertikaikan dan dituntut oleh China dan beberapa negara lain.
Menurut laporan itu, penambahan kemudahan itu menjadikan sembilan pangkalan dimiliki tentera AS di Filipina.
AS dikatakan berusaha membina kemudahan itu untuk menghalang pencerobohan China di rantau berkenaan.
Selain itu, AS juga membentuk kerjasama tiga hala bersama Australia dan United Kingdom (UK) yang dinamakan AUKUS untuk memantapkan keupayaan ketenteraan dalam menghadapi persaingan semakin meningkat dari China.
Kewujudan AUKUS bertujuan menjaga kestabilan dan keamanan di perairan Indo-Pasifik.
Tambah McFeeters, AS komited membantu meningkatkan kapasiti keselamatan Malaysia bagi membolehkan negara ini memahami dengan lebih jelas situasi yang berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan.
BEKALAN PERTAHANAN
Katanya, sejak lima tahun lalu, AS membekalkan peralatan pertahanan kepada Malaysia bernilai kira-kira AS$250 juta dolar (RM1.10 bilion) termasuk radar pengesan dan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron.
Jelasnya, aset yang dibekalkan itu seperti ‘mata dan telinga’ bagi membantu memberi gambaran sebenar kepada Malaysia untuk mengetahui apa yang berlaku di perairan itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, Laut China Selatan yang kaya dengan sumber menjadi antara kawasan maritim paling kontroversi di dunia ekoran dituntut lebih enam buah negara.
HUBUNGAN KESELAMATAN
Sementara itu, McFeeters berpandangan hubungan keselamatan antara AS dan Malaysia kekal kukuh selain mempunyai jalinan kerjasama yang baik.
Katanya, hampir setiap tahun, AS mempunyai kira-kira 11 latihan ketenteraan dua hala dengan Malaysia melibatkan pasukan pertahanan laut, darat dan udara.
“Kami juga amat gembira Malaysia menyertai beberapa latihan ketenteraan pelbagai hala membabitkan operasi seperti mencari dan menyelamat serta kebolehlaksanaan,” ujarnya.