FAKTOR kesihatan menimbulkan ura-ura Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu berundur daripada jawatan Presiden Pas yang disandangnya sejak 2003. Ia mencuri tumpuan memandangkan Ahli Parlimen Marang itu adalah sosok yang sudah sinonim dengan politik Malaysia.
Tempoh 22 tahun menyandang jawatan berkenaan bukanlah masa yang singkat. Beliau aktif dalam politik ketika masih belajar apabila dilantik sebagai Setiausaha Cawangan Pas Kampung Rusila di Marang, Terengganu pada 1964.
Dari situ, pengaruhnya dalam pergerakan politik Pas berkembang sehingga diangkat memangku jawatan Presiden pada 2003 selepas kematian Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Nor.
Beliau disahkan sebagai Presiden pada Muktamar Tahunan Pas pada 2005. Keberadaannya di jawatan itu menyaksikan Pas kekal dengan tradisi kepemimpinan ulama sepertimana termaktub dalam perlembagaannya.
Pada 2015, Abdul Hadi yang dipanggil ‘Tok Guru’ atau ‘Tuan Guru’ dalam kalangan pengikutnya, pertama kali dicabar untuk jawatan Presiden Pas oleh Ahmad Awang. Namun Abdul Hadi berjaya mempertahannya.
Beliau kemudian menang tanpa bertanding pada 2017, 2019, 2021 dan 2023 dalam pemilihan jawatan-jawatan parti itu yang dilakukan setiap dua tahun.
Di bawah terajunya, Abdul Hadi membawa Pas menjadi parti dominan termasuk mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat selain berjaya menguasai empat negeri dengan kerjasama rakan-rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun, menjelang Muktamar Pas Kali Ke-71 di Kedah, September ini, tercetus ura-ura beliau yang turut dipanggil ‘Ayah Cik’ oleh penyokong rapat dan penduduk di sekitar Rusila mahu melepaskan jawatan berkenaan.
Dalam usia 78 tahun, Abdul Hadi pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali termasuk pada 2014 dan 2021 kerana sesak nafas dan pada 2023 kerana demam. Beliau pernah menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) termasuk dilaporkan menjalani rawatan pada 5 Januari tahun lepas.
Terbaharu pada 17 Jun lalu, beliau berjaya menjalani prosedur rawatannya di IJN. Kesihatan Presiden Pas itu dikatakan lebih baik selepas menjalani prosedur tersebut. Beliau kemudian kelihatan muncul menunaikan solat jenazah untuk bekas Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Hamzah Ngah di Masjid Rusila sebelum kembali menyampaikan kuliah duha pada Jumaat lepas.
Justeru, perkembangan terkini itu menyaksikan sudah tidak ada alasan yang kukuh jika faktor kesihatan dikatakan punca Abdul Hadi memberi bayangan untuk berundur. Sepertimana kata Dewan Ulama Pas ‘tiada sebab Abdul Hadi tidak kekal’.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan jawatan Presiden perlu dikekalkan kepada Abdul Hadi manakala Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyifatkan Ayah Cik adalah nakhoda terbaik yang perlu dikekalkan.
Perlembagaan Pas memberi hak kepada mana-mana ahli untuk dipilih atau memilih. Tiada halangan bagi mana-mana Pas kawasan untuk mencadang atau mencalonkan sesiapa sahaja untuk sebarang jawatan yang akhirnya tertakluk kepada penilaian jawatankuasa pemilih membuat keputusan.
Realitinya, perubahan kepemimpinan akan tetap berlaku seiring peredaran masa dan perubahan generasi. Berdasarkan ketetapan dan sentimen pemimpin serta ahli Pas yang mahu Tok Guru terus memimpin mereka, beliau dijangka kekal sebagai Presiden Pas sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi.
Namun, keputusan akhir tetap terletak pada ‘tuan punya badan’. Justeru, sudah tiba masanya Ayah Cik menyatakan apa yang ada dalam fikirannya itu. – UTUSAN










