PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera dalam dua letupan di depoh senjata jabatan anti-keganasan di barat laut Pakistan.
Lapor NDTV, Ketua polis wilayah, Akhtar Hayat berkata, letupan itu menggegarkan pejabat jabatan anti-keganasan di Lembah Swat.
Menurut jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan, punca letupan itu kemungkinan besar disebabkan amunisi terbakar akibat litar pintas.
Malah, katanya, setakat ini, tiada sebarang bukti menunjukkan wujudnya serangan dari luar.
Tambah jurucakap itu, pihaknya juga sedang menyiasat aspek lain letupan berkenaan.
Sementara itu, Akhtar memaklumkan kebanyakan individu terbunuh dalam letupan itu merupakan pegawai jabatan anti-keganasan dan polis.
Katanya, seorang wanita dan anaknya yang melalui bangunan itu turut terbunuh.










