Protes di Perancis bertukar ganas - Utusan Malaysia

Protes di Perancis bertukar ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Demonstrasi terhadap pembaharuan skim pencen yang dicadangkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bertukar ganas selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata, 149 anggota pasukan keselamatan cedera dan sekurang-kurangnya 172 orang ditahan selepas protes menjadi tidak terkawal apabila penunjuk perasaan mula menyalakan api di lokasi bersejarah di berapa pusat bandar.

Keadaan bertambah buruk apabila Macron bertekad meneruskan pembaharuan itu tanpa melalui undian di Parlimen, sekali gus mencetuskan krisis domestik terbesar pada penggal kedua pentadbirannya.

Dilaporkan, jumlah penunjuk perasaan di Paris dan bandar-bandar lain jauh lebih tinggi berbanding hari-hari protes sebelumnya, didorong kedegilan Macron yang masih mahu meneruskan pembaharuan skim pencen tersebut dalam temu bual kelmarin.

Kemelut itu turut dikhuatiri mencemarkan lawatan Raja Charles III ke Perancis minggu depan yang merupakan lawatan rasmi pertama baginda ke luar negara sebagai Raja Britain.

Dalam pada itu, kesatuan sekerja mengumumkan mogok dan bantahan besar-besaran Selasa depan, yang juga hari kedua Raja Charles berada di Perancis.

Ketika protes di serata Perancis, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan bagi menyuraikan orang ramai selain bomba terpaksa campur tangan berikutan penunjuk perasaan menyalakan api di jalanan dengan membakar palet kayu dan timbunan sampah yang tidak dikutip.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya