PBB terpaksa kurangkan dana sokongan kanak-kanak Yemen

PBB terpaksa kurangkan dana sokongan kanak-kanak Yemen

KANAK-kanak Yemen, 10 tahun Ahmadia Abdo yang mempunyai berat sepuluh kilogram akibat kekurangan zat makanan akut, duduk di atas katilnya di sebuah kem untuk pelarian dalaman di utara Gabenor Hajjah, Yemen. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa ia terpaksa mengurangkan sokongan untuk kanak-kanak di Yemen berikutan rangsangan dana yang tidak mencukupi.

Yemen adalah sebuah negara yang dilanda perang di mana berpuluh-puluh rak­yatnya mati setiap hari, namun perkara itu dikatakan boleh dicegah.

Agensi PBB, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan, lebih 540,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami ke­kurangan zat makanan teruk yang mengancam nyawa de­ngan seorang kanak-kanak mati setiap 10 minit.

“Jika pembiayaan tidak di­terima, UNICEF mungkin terpaksa mengurangkan bantuan pentingnya untuk kanak-kanak yang terdedah tersebut,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang ulang tahun kelapan campur tangan pakatan pimpinan Arab Saudi dalam perang di Yemen.

Perang Yemen meletus pada 2014 dan dengan cepat me­nyaksikan pemberontak Huthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa sehingga mendorong tentera pimpinan Arab Saudi untuk campur tangan.

Tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan pertama mereka terhadap kedudukan Huthi pada 26 Mac 2015 dan gencatan senjata dilaporkan tamat pada tahun lalu.

Lebih 11,000 kanak-kanak diketahui terbunuh atau cacat sejak konflik memuncak pada 2015.

UNICEF menambah, sejumlah 11 juta kanak-kanak Yemen memerlukan bantuan kemanusiaan.

Agensi itu berkata, mereka memerlukan AS$484 juta (RM2.143 bilion) untuk meneruskan bantuan di Yemen tahun ini, tetapi PBB hanya mengumpulkan AS$1.2 bi­lion (RM5.313 bilion) untuk semua agensinya di Yemen pada persidangan ikrar di Switzerland bulan lepas, jauh daripada sasaran AS$4.3 bilion (RM19.041 bilion).

“Jurang pembiayaan UNICEF terus dihadapi hingga 2022 dan sejak awal 2023, tindak balas kemanusiaan yang diperlukan untuk kanak-kanak di Yemen amat beri­siko,” kata UNICEF.

Pertempuran di Yemen mencetuskan apa yang disifatkan oleh PBB sebagai salah satu tragedi kemanusiaan terburuk di dunia.

PBB berkata, lebih 21.7 juta iaitu dua pertiga daripada penduduk Yemen memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya