Panel Parlimen Kanada siasat dakwaan campur tangan asing dalam pilihan raya - Utusan Malaysia

Panel Parlimen Kanada siasat dakwaan campur tangan asing dalam pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Sebuah jawatankuasa Parlimen Kanada meluluskan usul menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan campur tangan asing pada pilihan raya negara ini selepas mendengar keterangan daripada pegawai perisikan tertinggi.

Usul itu tidak mengikat tetapi meningkatkan tekanan kepada kerajaan liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau untuk melancarkan siasatan awam secara meluas sama ada pemain asing khususnya China, cuba campur tangan dalam pilihan raya umum pada 2021 dan 2019.

Parti pembangkang Kanada minggu ini meningkatkan tekanan terhadap tindakan sedemikian.

Menteri Luar China, Qin Gang, menyangkal dakwaan bahawa kedutaan dan konsulat China di Kanada cuba campur tangan dalam pilihan raya Kanada, menggelar tuduhan tersebut sebagai palsu dan tidak masuk akal.

Ahli Parlimen liberal dalam Jawatankuasa Prosedur dan Hal Ehwal Dewan mengundi menentang usul itu tetapi dikalahkan 6-5 oleh ahli parti pembangkang.

Undian itu dibuat selepas ketua agensi pengintip Kanada memberitahu jawatankuasa itu bahawa tiada campur tangan besar negara asing dalam dua undian terakhir negara itu tetapi siasatan sedang dijalankan terhadap laporan media yang memetik risikan rahsia mengenai pengaruh China.

Pengarah Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS), David Vigneault berkata, beliau bersetuju dengan penemuan daripada panel penyiasatan bahawa keputusan pilihan raya 2019 dan 2021 tidak terjejas.

Beliau enggan mengesahkan laporan media Kanada tidak disahkan baru-baru ini yang memetik sumber risikan tanpa nama, menunjuk kepada percubaan khusus China untuk campur tangan dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

Vigneault berkata, CSIS dan rakan kongsi keselamatan domestik lain sedang menyiasat sumber kebocoran itu.

Kanada ialah ahli pakatan perkongsian perisikan lima negara dengan UK, Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Australia.

Trudeau mengakui terdapat percubaan campur tangan oleh China, tetapi menegaskan keputusan undian tidak diubah.

Isnin lalu, Trudeau menafikan satu laporan mengatakan seorang calon Liberal yang kini ahli Parlimen telah disokong oleh Beijing.

China menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak berminat untuk mencampuri hal ehwal dalaman Kanada.

Vigneault berkata, CSIS akan mengambil bahagian jika siasatan awam dilancarkan, tetapi menambah bahawa membincangkan maklumat sulit bakal menjadi teka-teki utama, mengulangi kenyataan awal oleh penasihat keselamatan tertinggi, Kanada Jody Thomas.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN