SUV isteri bekas ADUN Kuala Terengganu kekal dilucuthakkan

SUV isteri bekas ADUN Kuala Terengganu kekal dilucuthakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan dua mahkamah terdahulu yang memerintahkan kereta Proton X70 milik isteri bekas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu dirampas dan dilucuthakkan kepada kerajaan.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin ketika membaca penghakiman panel tiga hakim menyatakan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit yang didaftarkan atas nama Aida Tengah, 50, mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 165 kanun sama.

Panel diketuai Datuk Zaidi Ibrahim yang turut bersidang bersama Datuk Azman Abdullah.

Seksyen 409 membabitkan kesalahan pecah amanah jenayah membabitkan penjawat awam manakala Seksyen 165 melibatkan penjawat awam menerima barangan berharga daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi dengannya.

Aida merupakan isteri kepada Tengku Hassan Tengku Omar yang ketika itu turut menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu dan Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Negeri Terengganu.

Selain itu, Hakim Ahmad Fairuz berkata, pendakwaan berjaya menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif Hygenia Sdn. Bhd., Abdul Ahad Khan telah menyeleweng RM3.875 juta dana syarikat itu untuk tujuan peribadi. Siasatan berkaitan penyelewengan itu dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Wang berjumlah RM115,000 daripada dana tersebut digunakan bagi membeli kereta itu.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 165 pula, jelas bahawa suami perayu merupakan seorang penjawat awam dan pengerusi jawatankuasa pelaburan manakala Abdul Ahad mempunyai hubungan rasmi dengannya,” katanya.

Pendakwaan sebelum ini turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat arahan untuk mendakwa Abdul Ahad namun lelaki itu telah melarikan diri.

Pada 14 Mac 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan Aida terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 5 Mei 2023 yang membenarkan pelucuthakan kenderaan tersebut kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbilan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Ashraf Tahir manakala Aida diwakili peguam, Datuk Awang Armadajaya Awang Mahmud.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN