Mogok: Gaji pekerja pendidikan Los Angeles naik 30 peratus

Mogok: Gaji pekerja pendidikan Los Angeles naik 30 peratus

KAKITANGAN sokongan sekolah awam Los Angeles, guru dan penyokong berhimpun di luar ibu pejabat LAUSD pada Selasa lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pekerja sektor pendidikan yang mogok selama tiga hari sehingga kira-kira setengah juta murid di Los Angeles tidak dapat hadir ke sekolah minggu ini dilaporkan akan mendapat kenaikan gaji sebanyak 30 peratus.

Lapor AFP, pemandu bas, pekerja kafeteria dan pembantu pendidikan khas yang bekerja di Los Angeles Unified School District (LAUSD) iaitu daerah yang kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) dikatakan menghentikan perkhidmatan mereka sejak Selasa lalu bagi menuntut apa yang dipanggil ‘kemiskinan gaji’.

Selepas perbincangan di antara Service Employees International Union Local 99 dan ahli lembaga LAUSD, perjanjian tentatif diumumkan pada hari Jumaat yang memenuhi permintaan kesatuan untuk kenaikan gaji hampir satu pertiga.

Kesatuan itu berkata, kenaikan gaji akan meningkatkan purata gaji ahli daripada AS$25,000 (RM110,684.79) setahun kepada AS$33,000 (RM146,103.92).

Perjanjian yang dicadangkan adalah setiap cadangan penambahbaikan mesti diundi oleh ahli termasuk bonus AS$1,000 (4,427.39) untuk semua ahli pada tahun persekolahan 2020 hingga 2021.

LAUSD dalam kenyataan berkata, perjanjian itu akan mengatasi ketidaksamaan gaji , mewujudkan pengembangan besar-besaran faedah penjagaan kesihatan untuk pekerja sambilan, melaburkan sumber yang banyak ke dalam pembangunan profesional untuk tenaga kerja sambil mengekalkan kestabilan kewangan untuk daerah itu.

Los Angeles ialah salah satu tempat tinggal paling mahal di Amerika dengan cukai yang tinggi dan bil barangan runcit dan utiliti yang mahal.

Sewa median di bandar itu ialah AS$3,000 (13,282.17)sebulan.

Pertikaian di Los Angeles itu adalah perselisihan buruh terbaharu yang membingungkan AS dan ia berlaku ketika rakyat AS bergelut dengan krisis kos sara hidup yang berterusan, yang menyaksikan harga barangan dan perkhidmatan harian melonjak naik sejak setahun lalu.

Angka yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan indeks harga pengguna meningkat enam peratus berbanding setahun lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya