Mangsa gempa dilarang jual rumah penempatan semula - Utusan Malaysia

Mangsa gempa dilarang jual rumah penempatan semula

MAHARANI meninjau rumah penempatan mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIANJUR: Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Maharani meminta mangsa gempa bumi di Cianjur yang menerima bantuan rumah baharu daripada kerajaan supaya tidak menjual atau menggadaikan kediaman tersebut.

Menurut Maharani, fasa pertama pembinaan 200 buah rumah tahan gempa sudah disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya manakala 300 unit lagi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.

“Jangan jual atau gadai rumah yang akan dimiliki kerana rumah ini meliputi sijil tanah dan rumah itu atas nama penerima yang tersenarai sahaja.

“Jumlah keseluruhan rumah pemindahan adalah 500 unit untuk penduduk di zon merah yang terjejas akibat gempa bumi dan kami berharap mereka dapat mengekalkan rumah itu sepanjang hayat,” katanya kepada Antara.

Bercakap kepada 200 pemilik rumah baharu itu, Maharani menggesa mereka supaya tidak memindah hak milik rumah berkenaan atas sebarang sebab kerana nama pada sijil pemilikan tidak boleh ditukar.

Sementara itu, Ketua Daerah Cianjur, Herman Suherman mendedahkan bahawa penduduk yang tinggal di kawasan terjejas gempa bumi seperti mukim Cugenang, Pacet dan Cianjur akan turut menikmati program bantuan lain termasuk pemulihan ekonomi.

“Kerajaan akan menyediakan latihan keusahawanan kepada penduduk yang berpindah termasuk bantuan modal perniagaan agar mereka dapat terus menjana pendapatan dan mempunyai pekerjaan walaupun selepas berpindah,” katanya.

Menurut Herman, penduduk yang dipindahkan akan terus memiliki tanah di mana bekas rumah dan ladang mereka berada dan dibenarkan mengusahakan tanah berkenaan.

“Pemilikan rumah boleh ditamatkan sekiranya mereka membina bangunan di atas tanah sebelum ini. Kami berharap tiada sesiapa yang melanggar perkara ini termasuk menjual atau meletakkan rumah pemindahan itu sebagai gadaian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya