KPI buat laporan terhadap hakim tangguh Pemilu 2024 - Utusan Malaysia

KPI buat laporan terhadap hakim tangguh Pemilu 2024

KPI membuat laporan kepada Suruhanjaya Kehakiman berhubung keputusan penangguhan Pemilu 2024 oleh Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Pusat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA:  Kongres Pemuda Indonesia (KPI) membuat laporan kepada Suruhanjaya Kehakiman terhadap panel hakim Mahkamah Daerah Jakarta Pusat yang memutuskan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024.

KPI yang diwakili peguam bela, Pitra Romadoni membuat laporan tersebut terhadap Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Tengku Oyong H. Bakri dan Doweeks Silaban semalam.

Satu lagi laporan turut dibuat oleh Firma Guaman Themis Indonesia dan Persatuan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem).

Hakim berkenaan didakwa melakukan kesalahan kerana membenarkan kes yang bukan kuasa mutlak mereka.

Wakil Perludem, Ihsan Maulana dalam satu kenyataan berkata, keputusan panel hakim itu juga dianggap bertentangan dengan Garis Panduan Penyelesaian Pertikaian Tindakan Kerajaan dan Kuasa Membicarakan Perbuatan Haram oleh Badan atau Pegawai Kerajaan.

“Justeru, boleh disyaki panel hakim yang melihat kes ini melanggar prinsip kod etika dan garis panduan tingkah laku hakim untuk berkelakuan profesional,” katanya.

Mahkamah Daerah Jakarta Pusat sebelum ini membenarkan tuntutan mahkamah Parti Rakyat Adil dan Sejahtera (PRIMA) secara keseluruhan dengan menghukum Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) kerana tidak melaksanakan peringkat Pemilu 2024.

Mahkamah itu menyatakan bahawa KPU melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan diminta membayar pampasan sebanyak 500 juta rupiah (RM146,000) kepada Parti PRIMA.

Perhubungan Awam Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Zulkifli Atjo menegaskan keputusan itu belum mendapat kuasa undang-undang tetap kerana KPU telah mengisytiharkan rayuan.

Biarpun belum selesai, Mahkamah Daerah Jakarta Pusat terus menerima kritikan hebat termasuk daripada pihak kerajaan dan ahli akademik.

Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD menegaskan bahawa keputusan itu perlu ditentang keras oleh undang-undang dan beliau menyokong tindakan KPU untuk membuat rayuan.

Mahfud yakin KPU akan menang dalam rayuan di Mahkamah Tinggi kerana menurutnya, Mahkamah Daerah tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan penangguhan pilihan raya di peringkat nasional.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN