JAKARTA: Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi yakin Indonesia mempunyai peluang besar melahirkan pakar dalam bidang elektrik, automasi industri dan tenaga boleh diperbaharui melalui pendidikan vokasional di negara itu.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Setiausaha Kementerian itu, Saryadi berkata, kerajaan menjalin kerjasama dengan banyak pihak termasuk Kedutaan Perancis di Indonesia melalui Program Pusat Kecemerlangan (CoE).
Jelas Saryadi, CoE melibatkan industri untuk peningkatan kualiti dan peningkatan kemahiran pelajar serta guru dengan pembangunannya dijalankan di Pusat Pembangunan Jaminan Kualiti Pendidikan Vokasional dalam Kejuruteraan Mesin dan Industri (BBPPMPV BMTI) di Cimahi di Jawa Barat sejak tahun 2017.
“Penubuhan CoE di BBPPMPV BMTI adalah pelaburan terbesar oleh Schneider Electric Global dalam meningkatkan tenaga elektrik, automasi industri, dan pendidikan vokasional tenaga boleh diperbaharui di Indonesia.
“Pembangunan profesional dalam program CoE diketuai oleh pakar Perancis dan kurikulumnya sejajar dengan Standard Kompetensi Kerja Nasional Indonesia (SKKNI),” katanya.
Menurut Saryadi, CoE akan melahirkan sumber manusia yang kompeten, berkebolehan memenuhi piawaian industri selain menyokong hubungan antara pendidikan vokasional dan industri.
“Kerjasama ini dapat meningkatkan komitmen semua pihak untuk memajukan pendidikan vokasional,” katanya lagi.
Wakil daripada Schneider Electric Group, Gwenaelle berkata, pihaknya telah melabur kit latihan bernilai 10 bilion rupiah (RM 2.9 juta) di kemudahan CoE Cimahi untuk 40 sekolah menengah vokasional (SMK).
Beliau berkata, pelaburan itu sejajar dengan visi Schneider Electric Global untuk melatih satu juta bakat muda dalam pengurusan tenaga, automasi dan semua kemahiran insaniah yang berkaitan.
“CoE di Indonesia adalah yang terbesar daripada 11 yang kami laburkan di dunia,” kata Gwenaelle.