ICJ arah AS bayar pampasan beku aset Iran - Utusan Malaysia

ICJ arah AS bayar pampasan beku aset Iran

IRAN membawa kes terhadap Washington pada 2016 kerana didakwa melanggar perjanjian persahabatan 1955.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Amerika Syarikat (AS) membayar pampasan kepada syarikat Iran selepas memutuskan bahawa Washington secara haram membenarkan mahkamah membekukan aset mereka.

Bagaimanapun, tribunal di The Hague memutuskan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas pembekuan aset berjumlah  AS$1.75 bilion (RM7.7 bilion) daripada bank pusat Iran yang dipegang dalam akaun Citibank di New York dan merupakan jumlah terbesar dituntut kembali oleh Teheran.

Naib Presiden ICJ, Kirill Gevorgian berkata, majoriti menegakkan bantahan terhadap bidang kuasa yang dibangkitkan oleh AS berkaitan tuntutan Republik Islam Iran berhubung bank itu.

Lapor Al Jazeera, kes itu pada mulanya dibawa oleh Teheran terhadap Washington pada 2016 kerana didakwa melanggar perjanjian persahabatan 1955.

Dalam perbicaraan tahun lalu, AS berhujah kes itu harus ditolak kerana Iran melakukan penyelewengan dan rampasan aset adalah hasil dakwaan penajaannya terhadap keganasan.

Menurut AS, wang itu akan diberikan sebagai pampasan kepada mangsa pengeboman 1983 di Lebanon dan serangan lain yang dikaitkan dengan Iran.

Mahkamah pada Khamis menolak pembelaan itu sepenuhnya dan memutuskan bahawa perjanjian yang ditandatangani lama sebelum revolusi Iran 1979 adalah sah.

Menurut ICJ,  walaupun AS menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 selepas hubungan terputus dengan kerajaan baharu Iran, ia masih wujud pada masa pembekuan aset syarikat dan entiti komersial Iran, dan oleh itu Washington didapati melanggar perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, hakim berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas aset yang dipegang oleh AS kerana bank pusat Iran dikenali sebagai Bank Markazi bukan perusahaan komersial dan tidak dilindungi oleh perjanjian itu.

Kementerian Luar Teheran dalam satu kenyataan berkata, keputusan ICJ menunjukkan kesahihan kedudukan Iran dan tingkah laku haram AS ke atas negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya