ICC keluarkan waran tangkap terhadap Presiden Russia

ICC keluarkan waran tangkap terhadap Presiden Russia 

BANGUNAN mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Vladimir Putin atas tuduhan melakukan jenayah perang dengan memindahkan kanak-kanak dari Ukraine ke Russia secara paksa.

ICC yang berpangkalan di The Hague memaklumkan pihaknya juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Pesuruhjaya Presiden Russia bagi hak asasi kanak-kanak, Maria Lvova-Belova atas pertuduhan yang sama.

Notis mahkamah itu dikeluarkan beberapa jam menyusuli berita lain yang berpotensi memberi kesan ketara kepada pencerobohan Russia di Ukraine.

Ia termasuk lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Moscow dan lebih banyak jet pejuang bagi pasukan tentera Kyiv.

Kyiv mendakwa lebih 16,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan secara paksa ke Russia sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari tahun lalu, dengan sebahagian besar golongan itu dipercayai ditempatkan di institusi serta rumah anak angkat.

Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata, Putin kini boleh ditahan sekiranya beliau menjejakkan kaki di mana-mana lebih 120 negara anggota ICC.

Beliau berkata, waran tangkap itu berdasarkan bukti forensik, penelitian dan apa yang diperkatakan oleh kedua-dua individu itu.

“Bukti yang kami kemukakan tertumpu kepada jenayah terhadap kanak-kanak. Golongan itu merupakan paling terdedah dalam masyarakat kita,” katanya.        

Menurut ICC, hakim mendapati ada ‘alasan munasabah’ untuk mengesyaki Putin bertanggungjawab atas jenayah, sekali gus membenarkan permohonan waran tangkap yang dibuat oleh Khan pada 22 Februari lalu.

Presiden ICC, Piotr Hofmanski memaklumkan pelaksanaan waran terbabit ‘adalah bergantung pada kerjasama antarabangsa’.

Putin menjadi presiden ketiga masih berkhidmat yang dikenakan waran tangkap oleh ICC.

Pemimpin tertinggi itu tidak mungkin dihadap ke mahkamah dalam masa terdekat.

Namun, waran itu membolehkan beliau ditangkap dan dihantar ke The Hague sekiranya mengunjungi mana-mana negara anggota ICC.   

* SAMBUT BAIK KEPUTUSAN  

Dalam pada itu, Ukraine menyambut baik pengumuman ICC yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin.

Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak menyifatkan usaha itu `hanya satu permulaan awal’ dalam memberi keadilan ke atas pencerobohan dilakukan Russia.      

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi Twitter turut mengalu-alukan langkah ICC dengan menyifatkannya sebagai satu `keputusan bersejarah’. 

* TIDAK SAH 

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menegaskan keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin adalah tidak sah dari segi undang-undang memandangkan Moscow tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu.

Malah, beliau juga menganggap langkah itu satu tindakan melampau ke atas presidennya.

“Russia sama seperti beberapa negara lain, tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu. Jadi, jika menilai dari sudut perundangan, keputusan mahkamah ini terbatal,” katanya.

Dilaporkan, Russia bukan negara anggota ICC.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova menyifatkan keputusan ICC `tiada makna’ buat Moscow.   

“Russia bukan keahlian dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan tidak memikul sebarang tanggungjawab dibawahnya.

“Malah, Russia tidak bekerjasama dengan badan ini. Setakat diketahui kemungkinan penahanan dari mahkamah antarabangsa ini akan terbatal dari segi undang-undang,” katanya tanpa merujuk nama Putin. – AFP/ AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.