Bunuh diri selepas tikam ibu sedang tadarus di masjid - Utusan Malaysia

Bunuh diri selepas tikam ibu sedang tadarus di masjid

POLIS Muba menunjukkan bukti berupa pakaian dan senjata tajam yang digunakan Muksin untuk membunuh ibunya di sebuah masjid di Desa Letang di Sumatera Selatan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUBA: Seorang lelaki dilaporkan membunuh diri di penjara selepas bertindak kejam menikam ibunya sehingga mati ketika wanita itu sedang bertadarus al-Quran di sebuah masjid di wilayah Musi Banyuasin di Sumatera Selatan kelmarin. 

Lapor Kompas.com, mangsa dikenali sebagai Pathona,61, meninggal dunia selepas ditikam di perut menggunakan parang sementara Misbahul Munir, 64, yang merupakan bapa suspek turut mengalami kecederaan parah akibat diserang senjata tajam itu ketika cuba menyelamatkan isterinya.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Muba, AKP Dwi Rio Andrian berkata, kejadian berlaku di Desa Letang, di daerah Babat Supat.

“Mangsa secara tiba-tiba didatangi suspek yang terus sahaja menghunus parang ke perut ibunya. Mangsa menjerit meminta tolong dan suaminya yang turut berada di masjid segera berlari membantu. Tetapi suspek malah menyerang bapanya.

“Suspek kemudian berlari pulang ke rumah tanpa rasa bersalah sambil membawa parang yang digunakan untuk menyerang ibu bapanya. Di dalam rumah, suspek dengan baju berlumuran darah duduk bermain dengan telefon bimbitnya,” kata Dwi Rio.

Jelas beliau, pegawai yang menerima laporan kejadian segera turun ke lokasi untuk menahan suspek yang dikenali sebagai Muksin namun mereka turut diserang sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera. 

“Kami terpaksa melepaskan tembakan ke arah kaki suspek kerana membahayakan pegawai,” katanya.

Hasil siasatan mendapati motif suspek melulu menyerang ibu bapanya menggunakan senjata tajam kerana marah dianggap menganut ajaran sesat.

“Muksin berang kitab mazhab kepercayaannya dibakar oleh ibu bapanya kerana dianggap berbeza fahaman. Suspek juga mengalami gangguan mental dan diasingkan oleh keluarganya,” jelasnya.

Selepas menjalani rawatan di hospital, Muksin dibawa ke Balai Polis Muba untuk menjalani pemeriksaan, namun semasa berada di dalam sel tahanan, suspek bertindak di luar jangkaan dengan menghentakkan kepalanya berulang kali ke dinding sehingga akhirnya tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya