Biden umum dana RM3.09 billion kukuhkan demokrasi  - Utusan Malaysia

Biden umum dana RM3.09 billion kukuhkan demokrasi 

JOE Biden (kiri) dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kanan) mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Demokrasi di Auditorium White House di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pembiayaan baharu berjumlah lebih AS$700 juta (RM3.09 bilion) bagi mengukuhkan demokrasi di seluruh dunia, walaupun puluhan negara memilih untuk tidak menyokong sebahagian deklarasi berkenaan komitmen tersebut dalam sidang kemuncak yang diadakan di White House kelmarin.

Ketika pentadbirannya menerima kritikan hebat berhubung isu hak asasi manusia dan demokrasi dalam dasar luarnya, Biden mengumumkan pembiayaan tersebut yang dirancang untuk membantu memerangi rasuah, menyokong pilihan raya yang bebas dan adil serta memajukan teknologi yang menyokong kerajaan demokratik.

OPTIMIS KESIHATAN DEMOKRASI DUNIA

Biden menjemput 121 pemimpin untuk Sidang Kemuncak Demokrasi kedua yang diadakan secara maya, di mana beliau turut mengumumkan pakatan mengenai peraturan untuk teknologi pengawasan.

Beliau turut menawarkan pandangan optimis mengenai kesihatan demokrasi di seluruh dunia, mengisytiharkan bahawa para pemimpin perlu menukar haluan dalam membendung kemunduran  institusi demokrasi yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Kami berusaha mengubah haluan di sini. Seperti yang sering kita katakan, kita berada di titik perubahan dalam sejarah di sini apabila keputusan yang kita buat hari ini akan mempengaruhi perjalanan dunia kita untuk beberapa dekad akan datang,” jelas Biden.

AS juga menandatangani satu kenyataan bersama dengan sembilan negara lain untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani percambahan dan penyalahgunaan perisian pengintip komersial. 

Australia, Kanada, Costa Rica, Denmark, Perancis, New Zealand, Norway, Sweden, Switzerland dan United Kingdom (UK) menandatangani perjanjian itu.

DEKLARASI KURANG MENDAPAT SOKONGAN 

Walaupun pemimpin 120 negara dijemput, satu deklarasi sidang kemuncak untuk menyokong prinsip asas demokrasi termasuk mengutuk Russia berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine hanya disokong oleh 73 negara.

Sebanyak 12 negara lain memilih untuk berkecuali daripada beberapa bahagian teks, termasuk India, Israel dan Filipina, yang kesemuanya memilih tidak menyokong sebahagian deklarasi mengenai akauntabiliti bagi penderaan hak asasi manusia dan mengakui kepentingan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Untuk menghadapi cabaran yang semakin meningkat terhadap demokrasi di seluruh dunia, kami komited untuk mengukuhkan institusi dan proses demokrasi serta membina daya tahan,” jelas deklarasi itu.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, pengisytiharan itu kekal terbuka dan negara-negara lain masih boleh menyokongnya.

“Seperti juga dengan mana-mana kenyataan bersama, rundingan kadangkala boleh menjadi sengit. 

“Dalam kes ini, kami berurusan dengan sejumlah besar kerajaan dan beberapa perbualan pergi agak jauh dan mendalam tanpa solusi yang dapat dimuktamadkan,” kata pegawai itu.

TINGKAT PEMBIAYAAN

Biden mengumumkan lebih AS$400 juta (RM1.76 bilion) untuk program serupa pada tahun 2021 ketika kali pertama mengadakan acara sedemikian.

Baru-baru ini, tindakan kerajaan campuran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melemahkan kuasa badan kehakimannya, langkah Mexico untuk memusnahkan badan pengawasan pilihan raya, dan keputusan India untuk membatalkan kelayakan seorang pemimpin politik tertinggi pembangkang menidakkan dakwaan Biden bahawa demokrasi dunia menjadi semakin kukuh.

Netanyahu, salah seorang daripada 85 pemimpin dunia yang berucap pada sidang kemuncak itu, menyuarakan keyakinan bahawa kompromi politik boleh dicapai mengenai pembaharuan yang boleh diselaraskan dengan kebebasan sivil, walaupun penentangnya menuduh beliau sebenarnya sedang berusaha menyekat kebebasan kehakiman.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula menggunakan platform tersebut untuk berterusan merayu mendapatkan lebih banyak senjata bagi membantu mengalahkan Russia. 

“Musuh demokrasi mesti kalah,” kata Zelenskyy.-REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.