ANKARA: Dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye baru-baru ini disifatkan tiga kali ganda lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara yang berlaku di barat laut negara itu pada tahun 1999.
Lapor agensi berita Anadolu, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di wilayah tenggara Diyarbakir.
“Gempa bumi yang berlaku kali ini adalah tiga kali ganda lebih kuat dengan tahap kerosakan lebih besar berbanding gempa bumi tahun 1999, yang direkodkan sebagai bencana terbesar dalam sejarah negara.
“Ia juga direkodkan sebagai bencana yang jauh lebih besar berbanding kejadian gempa bumi Erzincan pada tahun 1939,” katanya.
Dilaporkan, gempa bumi yang melanda Erzincan, timur Turkiye sebelum ini meragut kira-kira 33,000 nyawa manakala gempa bumi Marmara 1999 pula mengorbankan hampir 18,000 orang.
Sementara itu, Erdogan berkata, sekurang-kurangnya 21,848 orang terbunuh dan 80,097 lagi cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye melanda pada Isnin lalu.
“Ketika ini, seramai 160,000 anggota penyelamat termasuk pasukan dari luar negara sedang bertugas di 10 wilayah,” kata Erdogan ketika bertemu dengan mangsa gempa bumi di Diyarbakir dan Sanliurfa.
Dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud menjejaskan lebih 13 juta penduduk yang tinggal di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.