Russia sasar rampas Bakhmut - Utusan Malaysia

Russia sasar rampas Bakhmut

PASUKAN paramedik membantu seorang askar Ukraine yang cedera akibat terpijak periuk api di wilayah Donetsk.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Tentera Russia mempertingkat usaha untuk merampas bandar Bakhmut di wilayah Donetsk ketika Presiden Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berusaha keras melobi beberapa negara jiran dan sekutu Barat untuk membekalkan jet pejuang bagi menangkis kemaraan Russia di timur negara itu. 

Menteri Pertahanan Perancis, Sebastien Lecornu mengumumkan, tiada sebarang pantang larang untuk membekalkan Kyiv dengan pesawat pejuang selepas beliau bertemu Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov.

Bagaimana pun Amerika Syarikat (AS) dan Britain menolak idea itu tetapi mengulangi kesediaan mereka untuk meneruskan sokongan ketenteraan kepada Ukraine.

Barat masih enggan menghantar senjata yang boleh digunakan untuk menyerang jauh ke dalam Russia kerana bimbang mencetus perang yang lebih luas walaupun Moscow mengecam ikrar senjata Barat baru-baru ini sebagai provokasi.

AS yang telah menyediakan bantuan ketenteraan kira-kira AS$27.2 bilion (RM116 bilion) kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia, dilaporkan sedang menyediakan pakej bantuan tambahan berjumlah AS$2.2 bilion (RM9.38 bilion). 

Menurut pegawai AS, pakej bantuan tersebut dijangka turut menawarkan roket jarak jauh pertama kepada Kyiv selain beberapa bekalan senjata lain.

Semalam, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba turut mengesahkan negara itu akan menerima 120 hingga 140 kereta kebal dalam gelombang pertama penghantaran daripada gabungan 12 negara.

KETEGANGAN DIPLOMATIK

Di Washington, AS menuduh Russia melanggar perjanjian kawalan senjata nuklear baharu antara kedua-dua negara. 

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden tidak sabar untuk mengekalkan perjanjian itu tetapi hubungan dengan Moscow kini disifatkan antara terburuk dalam tempoh beberapa dekad berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

“Keengganan Russia untuk memudahkan aktiviti pemeriksaan menghalang AS daripada melaksanakan hak penting di bawah perjanjian itu dan mengancam daya maju kawalan senjata nuklear antara kedua-dua negara,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Di Washington, bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang menyokong usaha penghantaran bantuan ketenteraan kepada Ukraine dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen daripada parti Republikan. 

Republikan mengambil alih Dewan Perwakilan daripada Demokrat pada awal tahun ini dan beberapa penggubal undang-undang dalam kalangan parti itu menggesa untuk menamatkan bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine yang berjumlah puluhan bilion dolar itu.

“Misi saya adalah untuk menunjukkan bahawa Ukraine akan menang dan tidak sepatutnya berlaku sebarang kelewatan dalam usaha menyokong Ukraine untuk menang tahun ini,” kata Johnson dalam satu kenyataan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut mengumumkan akan membincangkan mengenai perang Russia di Ukraine dengan pegawai China semasa lawatan ke negara itu Ahad ini.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata, pihaknya akan menyokong sekatan yang dikenakan terhadap Russia dan Belarus berhubung pencerobohan Russia ke atas Ukraine.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya