Populasi trauma meningkat di Turkiye dan Syria - Utusan Malaysia

Populasi trauma meningkat di Turkiye dan Syria

PENDUDUK yang masih menunggu berita tentang ahli keluarga mereka yang hilang akibat gempa bumi duduk berhampiran runtuhan bangunan di Hatay di Turkiye.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTAKYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada pemulihan trauma apabila merawat populasi yang terjejas akibat bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Wakil WHO Turkiye, Batyr Berdyklychev berkata, penduduk serta mangsa yang terselamat kini berdepan gangguan trauma dan masalah tersebut dikhuatiri semakin meningkat.

Mereka kini memerlukan lebih banyak perkhidmatan kesihatan psikologi dan mental di wilayah yang terjejas.

“Orang ramai kini mula menyedari apa yang berlaku kepada mereka selepas tempoh yang mengejutkan ini. 

“Terlalu banyak kehilangan yang mereka lalui dan mereka kini amat memerlukan sokongan emosi untuk berdepan cabaran yang amat sukar ini,” kata Berdyklychev.

WHO sedang berunding dengan pihak berkuasa Turkiye untuk memastikan mangsa gempa bumi boleh mengakses perkhidmatan kesihatan mental sambil menegaskan ramai penduduk yang dipindahkan akibat gempa bumi ke kawasan lain di negara itu juga perlu dihubungi dan diberi perhatian.

Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata, keutamaan segera untuk 22 pasukan perubatan kecemasan yang dikerahkan oleh WHO ke Turkiye adalah untuk menangani bilangan tinggi pesakit trauma selain kecederaan bencana.

Berdepan kesukaran tiada tandas dan air

Meskipun lega terselamat daripada gempa bumi yang mengorbankan banyak nyawa, penduduk yang terjejas akibat tragedi itu berdepan kebimbangan menghidap penyakit lain berikutan ketiadaan kemudahan asas termasuk tandas.

Seorang penduduk Kahramanmaras, bandar berhampiran pusat gempa awal, Husne Duz, 53, memberitahu mereka berdepan kesukaran untuk ke tandas, terutama di kawasan tapak khemah yang menempatkan penduduk terjejas.

“Orang ramai kencing berdekatan khemah. Kami perlukan tandas dan tempat mandi. Kami juga memerlukan mesin basuh untuk mencuci pakaian,” kata wanita itu.

Tandas mudah alih mula dibawa ke kawasan gempa namun permintaannya melebihi bekalan.

Lebih 15 tandas mudah alih di atas jambatan di tengah Antakya dipenuhi pengguna sehingga najis melimpah ke atas jalan.

Seorang penduduk, Sedef, 18, dari Antakya berkata, kekurangan kemudahan asas itu semakin mendesak.

Katanya, dia terpaksa menggunakan kemudahan kotor itu kerana mereka yang tinggal di sekolah yang dijadikan tempat perlindungan adalah lebih teruk.

“Mungkin kami tidak mati akibat gempa bumi, tetapi akan mati akibat penyakit,” katanya.

Bagi Nurhan Turunc, 42, yang ditemui ketika mengambil ubat untuk saudaranya di farmasi sementara yang ditubuhkan sukarelawan di Antakya berkata, kekurangan tandas adalah isu terbesar kini selain ketiadaan air.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya