Kementerian Luar Belanda usir diplomat Russia - Utusan Malaysia

Kementerian Luar Belanda usir diplomat Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Kementerian Luar Belanda mengusir beberapa diplomat Russia dan menutup misi perdagangan negara itu di Amsterdam sejak semalam.

Kementerian itu turut menuduh Moscow menggunakan perlindungan diplomatik untuk melakukan pengintipan.

Tindakan itu merupakan kejadian terbaharu dalam pertikaian mengenai kegagalan Russia memberikan visa kepada diplomat Belanda untuk kakitangan kedutaan mereka di Moscow dan konsulat di Saint Petersburg.

“Percubaan berterusan Russia untuk meletakkan pegawai perisikan ke Belanda di bawah perlindungan diplomatik tidak boleh diterima. Itulah sebabnya kami mengehadkan bilangan diplomat Russia di Belanda,” kata Menteri Luar, Wopke Hoekstra dalam ciapannya di laman Twitter.

Diplomat Russia yang diusir diberikan tempoh dua minggu untuk meninggalkan negara itu manakala misi perdagangan Russia di Amsterdam ditutup mulai Selasa.

“Penutupan misi perdagangan Russia merupakan tindak balas terhadap pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa yang berterusan oleh Moscow.

“Ia akan kekal ditutup sehingga Russia menghentikan pelanggaran terhadap larangan menyerang penduduk dan struktur awam di Ukraine,” jelas Hoekstra dalam surat berasingan kepada Parlimen.

Ketegangan di antara kedua-dua negara memuncak berikutan tembakan terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada tahun 2014.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu membawa 196 warga Belanda.

Penyiasat antarabangsa berkata, terdapat petunjuk kukuh Presiden Russia, Vladimir Putin secara peribadi meluluskan bekalan peluru berpandu yang menembak pesawat itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya