Blinken intai sokongan di Asia Tengah - Utusan Malaysia

Blinken intai sokongan di Asia Tengah

ANTHONY Blinken menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di Ukraine menjelang lawatan ke Asia Tengah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menuju ke Asia Tengah dengan harapan meraih penglibatan yang lebih besar dan meyakinkan bekas republik Soviet itu berhubung isu di Ukraine walaupun sedar pengaruh Russia mengehadkan banyak kerjasama di negara-negara berkenaan.

Beberapa hari selepas ulang tahun pencerobohan Ukraine, diplomat tertinggi AS itu akan mengadakan perbincangan di Kazakhstan sebelum ke Uzbekistan dan bertemu secara bersama dengan menteri luar dari semua lima negara bekas Soviet di Asia Tengah di ibu negara Kazakhstan di Astana.

Diplomat AS untuk Asia Selatan dan Tengah, Donald Lu berkata, AS realistik bahawa lima negara itu tidak akan menamatkan hubungan mereka dengan Russia atau jiran gergasi mereka iaitu China yang dilihat semakin merapatkan hubungan dengan negara-negara berkenaan.

Tetapi beliau berkata, Blinken akan menunjukkan bahawa AS adalah rakan kongsi yang boleh dipercayai dan berbeza daripada Moscow atau Beijing.

“Kami bukan sahaja mempunyai sesuatu untuk ditawarkan dari segi penglibatan dalam ekonomi tetapi kami juga mempunyai sesuatu untuk ditawarkan dari segi nilai yang kami bawa ke meja rundingan,” kata Lu kepada pemberita.

Selepas setahun mengembara ke seluruh dunia untuk mengumpulkan sokongan kepada Ukraine, misi Blinken kali ini mungkin melibatkan usaha yang paling halus dan diplomatik.

BERDEPAN SITUASI KOMPLEKS

Diplomat dan pakar berpendapat, pemimpin Asia Tengah berdepan keadaan tegang kerana perjanjian keselamatan rasmi dengan Moscow dan pengaruh besar terhadap keselamatan dan ekonomi Russia, termasuk sebagai destinasi untuk buruh.

Kelima-lima negara tersebut memilih untuk berkecuali atau tidak mengundi ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu yang menuntut tentera Russia meninggalkan Ukraine.

Pakar Politik Asia Tengah  Universiti Pittsburgh, Jennifer Brick Murtazashvili berkata, AS akan berusaha dalam pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian negara-negara berkenaan.

“Terdapat keinginan sebenar di kalangan pemimpin negara-negara ini untuk memindahkan sokongan dari Russia. 

“Saya fikir mereka menyedari bahawa Russia adalah ancaman kepada mereka, tetapi mengikut geografi, sangat sedikit yang boleh mereka lakukan mengenainya dan keadaan ekonomi mereka tidak memberikan mereka banyak pilihan,” katanya.

“Jadi saya fikir ada peluang sebenar bagi AS untuk menjadi lebih kreatif bagi melibatkan diri dengan pemimpin negara-negara ini dan bertemu mereka di mana mereka berada,” jelasnya.

Kazakhstan yang memiliki sempadan darat terpanjang dengan Russia mempunyai antara hubungan yang paling kompleks dengan Moscow. 

Negara tersebut mengambil berat tentang hak etnik minoriti Russia yang besar lebih-lebih lagi selepas Presiden Russia, Vladimir Putin merujuk kepada layanan Ukraine terhadap penutur Russia dalam mewajarkan pencerobohannya.

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev yang akan bertemu Blinken minggu ini, sudah membuat lawatan bertemu Putin tahun lalu dan mengesahkan kerjasama dengan Russia.

Namun beliau dilaporkan bercakap dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan menggesa rundingan dibuat untuk mengakhiri konflik berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Kazakhstan turut mengalu-alukan puluhan ribu warga Russia yang melarikan diri daripada kerahan tentera.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN