MADRID: Kementerian Alam Sekitar Sepanyol melaporkan gelombang haba yang melanda negara itu sejak dua bulan lalu mengakibatkan 1,180 kematian, peningkatan mendadak berbanding hanya 114 kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut data daripada Institut Kesihatan Carlos III, sebahagian besar mangsa adalah warga emas berusia lebih 65 tahun, dengan lebih separuh daripada jumlah kematian melibatkan golongan wanita.
Wilayah utara seperti Galicia, La Rioja, Asturias dan Cantabria merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas. Kawasan ini secara tradisinya mengalami musim panas yang sederhana, namun kini menyaksikan lonjakan suhu yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sepanyol, seperti beberapa negara lain di Eropah Barat, mengalami cuaca panas melampau sejak kebelakangan ini, dengan suhu sering mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Dalam kenyataannya, kementerian itu menyatakan bahawa peningkatan kematian paling ketara berlaku pada minggu pertama bulan Julai.
“Data ini menunjukkan kejadian yang sangat luar biasa, dicirikan oleh peningkatan suhu purata yang belum pernah berlaku sebelum ini, disertai dengan lonjakan besar dalam kadar kematian akibat gelombang haba,” menurut kenyataan rasmi kementerian.
Terdapat 76 amaran merah yang dikeluarkan berikutan cuaca panas melampau tahun ini, berbanding tiada amaran pada tahun lalu. Sepanjang musim panas lalu, seramai 2,191 kematian dikaitkan dengan cuaca panas di Sepanyol.
Data dari Sepanyol ini turut selari dengan dapatan kajian saintifik pantas yang diterbitkan pada 9 Julai, yang menganggarkan sekitar 2,300 kematian akibat haba direkodkan di 12 bandar Eropah dalam tempoh sepuluh hari berakhir pada 2 Julai.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada metodologi kajian oleh saintis dari Imperial College London dan London School of Hygiene and Tropical Medicine itu sejajar dengan pendekatan digunakan oleh pihak berkuasa Sepanyol.









