MOSCOW: Russia dan Ukraine melakukan siri pertukaran tawanan perang, dengan masing-masing menyerahkan seramai 50 tentera yang ditahan.
Perjanjian pembebasan tahanan itu disambut baik oleh Moscow dan Kyiv ketika pertempuran antara kedua-dua negara itu masih berterusan di timur Ukraine.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, seramai 50 anggota tenteranya akan dibawa pulang ke Moscow untuk menjalani rawatan perubatan dan pemulihan psikologi.
“Pada 8 Januari lalu, seramai 50 anggota tentera yang berada dalam keadaan bahaya ketika dalam tahanan, dibebaskan dari wilayah dikawal oleh rejim Ukraine.
“Penyerahan tentera itu dibuat selepas beberapa rundingan diadakan,” jelas kementerian dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermark mengesahkan maklumat tersebut dan menyatakan Russia sudah membebaskan 50 anggota tentera negara itu, sebagai sebahagian perjanjian sama yang dipersetujui.
“Satu lagi siri pertukaran tawanan perang yang berjaya. Seramai 50 tentera Kyiv sudah dibawa pulang.
“Ia akan diteruskan lagi, kita harus membawa pulang semua rakyat negara ini dan sudah tentu kita akan melakukannya,” katanya di Twitter.
Yermark berkongsi beberapa gambar menampilkan pasukan tentera Ukraine dibebaskan sedang memegang beg makanan sambil menunggu berhampiran sebuah bas yang akan dinaiki.
Beliau turut memuat naik sebuah rakaman video anggota tentera itu sedang menyanyikan lagi kebangsaan Ukraine sepanjang perjalanan mereka. – REUTERS