Erdogan bakal percepat pilihan raya umum Turkiye  - Utusan Malaysia

Erdogan bakal percepat pilihan raya umum Turkiye 

ERDOGAN berucap semasa mesyuarat kumpulan Perhimpunan Kebangsaan Turkiye di Ankara kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi isyarat beliau bakal mempercepatkan tarikh pilihan raya umum negara itu pada 14 Mei ini dalam usaha untuk menundukkan pesaingnya.

Pengumuman itu menetapkan peringkat pengundian yang mungkin akan memanjangkan gaya pemerintahan Islam Erdogan kepada dekad ketiga atau mengubah negara itu ke arah yang lebih sekular.

MENGULANGI SEJARAH

Pilihan raya umum Turkiye secara rasminya dijangka diadakan pada 18 Jun.

Tetapi Erdogan mempunyai sejarah mengumumkan pengundian lebih awal untuk memberikan pesaingnya sedikit sahaja masa membuat persediaan dan berkempen.

Erdogan menyampaikan ucapan kepada parti pemerintahannya Rabu lalu di mana beliau memperingati hari Turkiye mengadakan pilihan raya bebas pertamanya pada tahun 1950.

Undian pada tarikh 14 Mei itu dimenangi oleh Adnan Menderes, seorang Perdana Menteri yang digulingkan oleh junta tentera pada 1960 dan dihukum mati setahun kemudian.

Erdogan sendiri pernah digulingkan dan dipenjarakan ketika beliau menjadi Datuk Bandar Istanbul pada 1990-an dan sering membandingkan dirinya dengan Menderes.

“Mendiang Menderes berkata pada 14 Mei 1950 ‘cukup, rakyat akan bersuara’, dan muncul sebagai pemenang di peti undi.

“Rakyat kita akan memberikan jawapan mereka kepada pihak pembangkang pada hari yang sama 73 tahun kemudian,” kata Erdogan dalam kenyataan di televisyen.

PEMBANGKANG BERPECAH

Ramai penganalisis berpendapat pilihan raya tersebut terlalu hampir.

Erdogan menyertai pilihan raya dengan reputasi yang sedikit terjejas akibat krisis ekonomi selama setahun yang menyaksikan inflasi mencecah 85 peratus.

Namun pembangkang yang bakal menyertai kempen pilihan raya juga dilihat masih tercari-cari susunan kerajaan dan belum mempunyai sebarang kata sepakat tentang calon yang akan diturunkan menentang Erdogan.

Harapan terbaik mereka sebelum ini adalah Datuk Bandar Istanbul yang terkenal, Ekrem Imamoglu.

Pemimpin berusia 52 tahun itu menewaskan sekutu Erdogan dalam pemilihan penting 2019 di mana pembangkang turut mengambil alih kuasa di ibu negara Ankara dan bandar ketiga terbesar di Turkiye, Izmir.

Tetapi mahkamah jenayah bulan lalu melarang Imamoglu daripada menyertai politik kerana menggelar pegawai yang membatalkan kemenangan awalnya pada tahun 2019 sebagai ‘bodoh’.

Imamoglu telah membuat rayuan dan masih boleh bertanding secara teknikal untuk jawatan Presiden.

Tetapi Imamoglu perlu berundur daripada jawatan sekiranya beliau berjaya memenangi pilihan raya tetapi sabitan untuk fitnah itu dikekalkan.

Risiko yang mengelilingi Imamoglu menjadikan Ketua Parti CHP, Kemal Kilicdaroglu sebagai calon yang paling berkemungkinan untuk menentang Erdogan.

Tetapi kegagalan bekas penjawat awam berusia 74 tahun itu untuk memenangi tinjauan pendapat menyebabkan perpecahan dalam enam parti pembangkang yang kini bersekutu menentang Erdogan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.